PETALING JAYA: Pelakon, Ayez Shaukat Fonseka, 37, meluah rasa syukur apabila Indonesia mula memandang bakatnya sebagai pelakon.
Justeru, Ayez tidak terkilan sekiranya namanya tidak dipandang di tanah kelahiran sendiri.
“Walau tak berapa dipandang di negara sendiri, Alhamdulillah nama kian melonjak di luar, kini di mata negara jiran,” katanya menerusi Thread.
Ayez berkata demikian ketika berkongsi foto kenangan bersama pelakon lagak ngeri terkenal Indonesia, Uko Uwais di ruangan tersebut.
Ayez yang juga ahli gusti profesional berpandangan kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa usaha dan kerja keras.
“Saya sentiasa percaya pada Usaha, Doa dan Tawakal. Berikan usaha terbaik, perbaiki diri sendiri, berikan 200 peratus usaha.
“kemudian berdoa, percayalah dengan susunan Allah untuk kita. Kalau rezeki kita, pasti akan capai,” ujarnya. – UTUSAN










