INSTITUSI pondok tahfiz berdepan cabaran besar untuk menyesuaikan sistem pendidikan tradisional dengan keperluan pendidikan moden tanpa mengabaikan asas pengajian agama.
Mudir Pusat Tahfiz Al-Quran Bukit Kenak, Rashidi Abdul Rahman, 65, berkata, masyarakat hari ini semakin mementingkan keseimbangan antara pendidikan agama dan akademik bagi memastikan pelajar mempunyai peluang kerjaya yang lebih luas pada masa depan.
Dahulu tahfiz atau madrasah hanya dilihat sebagai tempat belajar agama semata-mata namun kini ibu bapa mahu anak-anak mereka menguasai ilmu agama dan pada masa sama mampu menyambung pengajian dalam bidang akademik.
Katanya, ia menjadi cabaran terbesar pondok tahfiz hari ini iaitu bagaimana mahu mengekalkan identiti pengajian agama tradisional tetapi pada masa sama memenuhi tuntutan pendidikan moden.
“Seiring peredaran zaman, kini kebanyakan pondok tahfiz mula membuka ruang kepada pelajar menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi, pusat kemahiran atau bidang profesional selepas tamat pengajian agama,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Rashidi berkata, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh pengurusan tahfiz termasuk persepsi masyarakat yang masih menganggap pelajar pondok tidak mempunyai masa depan cerah dalam bidang pekerjaan.
Bagaimanapun, tanggapan itu semakin berubah apabila ramai lepasan pondok tahfiz berjaya menjadi guru, pensyarah dan usahawan malah profesional seperti doktor serta jurutera.
“Jika asas agama kuat, mereka sebenarnya lebih mudah membentuk disiplin diri dan fokus dalam pelajaran lain.
“Kita mahu lahirkan generasi yang bukan sahaja celik akademik tetapi faham agama dan berakhlak baik,” katanya.
Menurutnya, pondok tahfiz juga perlu memastikan pelajar tidak terlalu terdedah kepada teknologi tanpa kawalan kerana ia boleh menjejaskan fokus terhadap hafazan dan pembentukan sahsiah.
Bagi memastikan keseimbangan itu dicapai, kebanyakan pondok masih mengekalkan pendekatan tradisional dengan memberi fokus penuh kepada hafazan dan pengajian asas agama pada peringkat awal.
Dalam tempoh empat hingga lima tahun pertama, pelajar perlu memberi tumpuan kepada hafazan al-Quran, fikah, tauhid dan tasawuf supaya asas agama mereka benar-benar kukuh.
“Apabila asas agama sudah mantap, barulah mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan pendidikan moden dan cabaran semasa,” katanya.
Rashidi turut berkongsi pengalaman melihat masyarakat di Pakistan yang berjaya melahirkan golongan profesional seperti doktor dan usahawan yang turut menghafaz al-Quran.
Keadaan itu membuktikan hafazan al-Quran bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang profesional malah mampu membantu meningkatkan daya ingatan dan disiplin diri seseorang.-UTUSAN










