Pernah berhutang dengan tauke funfair - Shafie RIO - Utusan Malaysia

Pernah berhutang dengan tauke funfair – Shafie RIO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seawal di bangku sekolah lagi anak muda ini sudah memperlihatkan bakatnya yang terpendam. Mula aktif menyanyi ketika mengadakan persembahan bersama ‘kugiran kampung’ di majlis kenduri kahwin tempat kelahirannya di Muar, Johor. Siapa sangka minat dan kesungguhan yang ditunjukkan akhirnya membuahkan hasil sehingga menjadikan dia penghibur serba boleh.

Sebaik berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pertukangan Kayu, Tanggam & Bangunan (KTB) di Institut Kemahiran Mara (IKM), Manjung Perak, pada tahun 1986, dia pulang semula ke Muar dan menyertai kumpulan BM Group. Penyertaannya merupakan langkah kanan apabila BM Group berjaya menjadi residen artis di Tanjung Kelab Muar, Johor.

Pada tahun 1989, dia dipelawa menjadi penyanyi kumpulan Step Closer untuk menggantikan Nash yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Menganggap tawaran tersebut merupakan penghargaan besar buat dirinya, namun adakalanya dia terfikir sampai bila harus ‘mencari makan’ sebagai penyanyi. Perlu utamakan kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan apatah lagi jika sudah memasang impian untuk berumah tangga.

Khabar Legenda minggu ini membawa pembaca mengenali lebih dekat penyanyi lagu Layu Di hujung Mekar, empunya nama sebenar Shafiee bin Ali 56, atau lebih dikenali dengan panggilan Shafie RIO yang sudi berkongsi kisah silam serta kerjaya baharunya bersama Mingguan Malaysia.

“Di Kuala Lumpur saya melakukan pelbagai kerja, termasuklah kerja di pasar raya dan penjaga stor. Tapi semuanya tidak bertahan lama. Kerja sebulan, lepas dapat gaji saya cabut. Waktu itu saya masih mencari kerja yang benar-benar sesuai dengan jiwa.”

“Setelah puas bertukar kerja akhirnya saya dapat tawaran kerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat kewangan. Kerja tersebut memang kena dengan jiwa saya apatah lagi bertugas pada waktu pejabat dari Isnin hingga Iumaat dan hujung minggu pula cuti,” katanya memulakan perbualan.

Ketika gembira dengan tugas baharunya, dia dihubungi dua rakan lamanya, Taufiq dan Alias yang merupakan bekas anggota kumpulan Crossfire. Mereka menawarkan peluang kepadanya untuk menjadi penyanyi kumpulan yang bakal ditubuhkan.

Pada awalnya tawaran tersebut agak berat untuk diterima memandangkan dia selesa dengan kerjayanya ketika itu. Dia juga masih berpegang dengan pesan ibunya supaya jangan sesekali meninggalkan kerja sedia ada jika apa yang dikejar itu masih samar dan tidak pasti.

“Saya setuju untuk menyertai mereka, tetapi tak mahu berhenti kerja. Itu permintaan saya. Setelah berbincang akhirnya mereka setuju dan hormati keputusan yang saya buat.”

“Seterusnya kami bersama-sama cipta lagu dan buat demo tape untuk dihantar ke syarikat rakaman. Dipendekkan cerita akhirnya syarikat rakaman, Fantasia Music City (FMC) bersetuju ambil kami sebagai artis naungannya. Ketika itu kami adalah artis melayu pertama yang bernaung di label itu.

“Syarikat rakaman FMC tiada pengalaman menerbitkan album Melayu kerana sebelum itu mereka hanya mengeluarkan album-album penyanyi berbangsa Cina. Jadi dia minta kami cari penerbit sendiri,” ujarnya.

 

Rosli Selasih diberi tanggungjawab untuk menerbitkan album ini. Pada awalnya kumpulan ini diberi nama R10 (R ten), namun akhirnya ditukar kepada RIO apabila ramai peminat dan wartawan yang keliru ketika membacanya. Untuk tidak merumitkan situasi akhirnya mereka sebulat suara bersetuju menukar nama R10 kepada RIO.

RIO tampil dengan imej yang cukup berbeza. Walaupun fenomena rock kapak masih lagi berbekas ketika itu, namun mereka tidak gentar untuk melawan arus. Pembaharuan dibawa mendapat pujian daripada Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat, yang melabelkan RIO sebagai sebuah kumpulan yang perlu dicontohi gara-gara imej kemas yang ditonjolkan.

“Sebenarnya saya memang tak boleh simpan rambut panjang sebab masih bekerja. Sebagai penyanyi saya cuma nak ‘jual suara’, tak lebih dari itu. Saya pun bukanlah pejuang rock tegar. Masih ada unsur jiwang lagi. Bak kata orang dalam hati tu masih ada taman.”

“Lagu Layu Di Hujung Mekar yang pada mulanya bukanlah lagu taruhan akhirnya meledak dan berjaya menjuarai carta di beberapa buah stesen radio tempatan. Kumpulan RIO sudah mula dikenali dan meniti di bibir peminat. Kami juga sudah mula sibuk promosi album serata Malaysia.”

“Jadual promosi yang padat sedikit sebanyak mengganggu kerja harian saya. Saya akui tidak dapat beri komitmen sepenuhnya kerana waktu cuti saya hanyalah Sabtu dan Ahad. Bila ada promosi melibatkan hari bekerja saya terpaksa jumpa bos untuk minta cuti.”

“Saya mohon cuti tanpa gaji tapi bos tak benarkan. Katanya dia akan luluskan cuti tanpa gaji apabila ada hal tertentu sahaja contohnya seperti sakit atau tunaikan umrah. Kalau ambil cuti untuk pergi menyanyi dan buat show memang tiada dalam list. Kecuali resign terus,” katanya sambil ketawa.

Sekali lagi dia minta pendapat daripada orang tuanya di kampung. Namun jawapan yang diterima tetap sama. Jangan sesekali berhenti kerja semata-mata untuk menjadi penyanyi yang tidak tentu masa depannya. Dia akur. Demi meneruskan minat sebagai penyanyi dia terpaksa berkorban melakukan dua kerja, walaupun ada ketikanya berasa cukup penat untuk menggalas tugas tersebut.

Membuat persembahan di tapak ekspo dan funfair seluruh Malaysia merupakan ‘perkara wajib’ bagi sesebuah kumpulan rock di tanah air kala itu. RIO juga tidak terkecuali. Saban minggu ada sahaja tawaran untuk mereka. Walaupun luar dari Kuala Lumpur, namun peluang mengadakan persembahan di hadapan peminat pastinya menjadi keutamaan.

“Pernah kami dapat tawaran untuk mengadakan persembahan di funfair Gerik Perak. Tauke funfair tersebut tanya kami berapa harga tiket yang ingin dikenakan kerana waktu itu pembahagian keuntungan akan dibahagikan secara 60/40. Setelah berbincang kami setuju untuk letak harga RM5 bagi setiap pengunjung.”

“Sejujurnya kami berdebar juga kerana malam sebelumnya kumpulan Ukays sudah buat persembahan di situ, jadi tak tahu berapa ramai pula yang akan datang tonton persembahan kami. Kebetulan pula show kami waktu tu pada hari Ahad malam Isnin dan esoknya adalah hari bekerja.

“Mimpi ngeri kami akhirnya jadi kenyataan. Bayangkan waktu kami buat persembahan tu penonton yang datang tak sampai pun 10 orang. Memang kami kecewa sangat sampaikan terpaksa berhutang dengan tauke funfair tersebut untuk lunaskan bayaran PA system yang disewa,” katanya.

Dari pentas ke dunia usahawan

Jodoh Shafie bersama kumpulan RIO akhirnya terhenti setakat tiga album sahaja. Dia disingkirkan atas alasan tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya. Akur dengan keputusan yang dibuat, dia akhirnya bergabung dengan Sham anggota kumpulan CRK dan membuat persembahan di beberapa buah kelab terkemuka sekitar Kuala Lumpur.

Tawaran menyertai program Gegar Vaganza musim kelima pada tahun 2018 cukup bermakna. Menurutnya di pentas itulah dia mula dikenali semula sehingga berjaya mendapat tawaran mengadakan persembahan di Singapura bersama Zamani dan Datuk Khatijah Ibrahim.

Akui kerjaya sebagai penyanyi ada pasang surutnya, Shafie dan isteri sudah membuat persiapan awal dengan menceburi perniagaan makanan yang kini dijalankan di Laman Santai Selebriti, Cabin 8, Padang Awam Batu Caves, Selangor.

“Sebelum Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dilaksana, kami memang buka gerai setiap malam di sini. Antara menu menarik yang kami jual termasuklah Nasi Goreng Anak Ramai, Nasi Goreng Berapi dan sengkuang calit. Namun sekarang ni terpaksa tutup dahulu. Insya-Allah jika habis PKP nanti kami akan beroperasi seperti biasa.

“Selain itu kami juga ada produk makanan dalam talian seperti Sambal Ikan Bilis Cili Padi, Sambal Rangup Ikan Bilis, Tempeyek Padu dan Kek Buah Kukus Gula Hangus.

“Peminat yang ingin mencuba dan merasai produk-produk keluaran Shafie RIO, bolehlah hubungi talian 018-2555283. Kami akan pos terus ke rumah anda,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN