KUALA LUMPUR: Industri penyiaran terutama pengacara dan penyampai radio, terlalu selesa menggunakan bahasa rojak ketika ke udara sehingga kebanyakan waktu dilihat mengetepikan usaha untuk mengangkat bahasa Melayu ke telinga pendengar.
Bekas penyampai radio popular, Jamal Jamaluddin, 57, mengakui perkara tersebut berlaku apabila semakin ramai generasi muda mendominasi bahagian pengurusan stesen radio atau televisyen yang memperlihatkan golongan ini cenderung menggunakan bahasa pasar atau rojak dalam perbualan harian.
“Walhal perkara itu boleh dielak dan ada sahaja perkataan bahasa Inggeris yang boleh digantikan dengan bahasa Melayu, mengapa tidak digunakan? Hanya kerana ia tidak nampak cool? Tidak nampak hype atau urban?
“Apabila pengurusan radio misalnya, mengatakan okey atau menetapkan penggunaan bahasa rojak kepada penyampai mereka, maka di situ boleh nampak tiada halangan untuk mereka bercakap dengan bahasa bercampur-campur.
“Janganlah begitu, bahasa kebangsaan yang standard juga indah untuk digunakan ketika ke udara. Yakinlah kerana saya dahulu sedaya upaya akan ke udara dengan bahasa kebangsaan tanpa rasa janggal, tanpa pendengar merasa pelik,” katanya.
Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pemain industri penyiaran merisaukan segelintir pejuang bahasa Melayu yang khuatir generasi muda akan lebih selesa dan lupa dengan keindahan bahasa kebangsaan itu.
Malah, isu yang sama pernah diulang suara oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim yang risau rakyat negara ini akan tidak tahu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat.
Sependapat dengan Jamal, penyampai radio Nasional FM, Awang Suffian Awang Hussein, 41, atau DJ Sonic, melahirkan rasa bertuah kerana sepanjang berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), dia diberi peluang untuk berkongsi manfaat penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dengan semua pendengar.
Meski mungkin tidak mampu menyaingi penilaian stesen radio lain yang lebih popular, DJ Sonic berbesar hati dapat mengajar pendengar penggunaan bahasa Melayu dengan betul secara tidak langsung setiap kali ke udara.
“Memang betul bahasa rojak lebih disukai, tetapi kalau bukan kita sebagai penyampai radio yang mencuba bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dengan betul, siapa lagi?
“Memang akan memerlukan sedikit masa untuk pendengar menerimanya, tetapi lama-lama ia akan jadi kebiasaan dan ikutan. Contohnya, perkataan yang sudah menjadi kebiasaan sekarang, swafoto, muka buku, tanda pagar dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










