KOTA BHARU: “Panasnya pakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), tetapi lagi ‘panas’ bila tengok orang langgar Prosedur Operasi Standard (SOP).”
Itu luahan petugas barisan hadapan, Dr. Muhammad Rashdan Roslan kepada wartawan Utusan Malaysia apabila ditanya tentang situasi kes Covid-19 di negara ini yang melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Reaksi tersebut adalah manifestasi rasa terkilan dan kecewa dirinya dan rakan seperjuangan apabila melihat sikap kebanyakan rakyat Malaysia yang masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.
Menurut beliau, bekerja sambil memakai PPE selama berbelas-belas jam setiap hari bukan mudah, namun mereka sedaya upaya bertahan demi tugas yang diamanahkan.
“Di sebalik PPE itu, seluruh badan sebenarnya lencun dibasahi peluh sehinggakan baju yang kami pakai sepanjang bertugas boleh diperah. Panas dan rimas usah cakap.
“Sejak awal tahun lalu, para petugas kesihatan bukan sahaja terdedah dengan risiko dijangkiti Covid-19, malah ada yang bekerja dalam tekanan hampir setiap hari sehingga kesihatan diri dan kehidupan peribadi turut terjejas.
“Bayangkan perasaan kami apabila melihat masih ada masyarakat di luar sana yang mementingkan diri sendiri dan enggan patuh pada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dr. Muhammad Rashdan yang berkhidmat di Klinik Saringan Infeksi – Klinik Rawatan Keluarga (SRI-KRK) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian merupakan antara petugas yang ditugaskan menangani Covid-19 sejak dari awal pandemik itu dikesan di negeri ini.
“Apabila gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, tugas menjadi semakin mencabar sehingga kami perlu pakai PPE sehari suntuk. Ketika itu, kami terlalu sibuk sampai tidak tahu bila waktu makan, bila nak ke tandas, nak duduk dan berehat.
“Paling membuatkan saya terkesan apabila salah seorang daripada rakan seperjuangan kami di HUSM iaitu seorang jururawat meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19, sekitar Disember lalu,” katanya.
Tegas Dr. Muhammad Rashdan, beliau dan rakan-rakan tidak pernah meminta segala jerih-perih dilalui mereka itu dibalas mana-mana pihak.
“Kami cuma berharap seluruh rakyat Malaysia dapat patuh pada SOP ditetapkan supaya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini,” katanya. – UTUSAN










