Kembali ke sekolah yang sunyi - Utusan Malaysia

Kembali ke sekolah yang sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIAM tak diam, sekolah hendak dibuka semula walaupun secara berperingkat. Sejak 18 Mac 2020, beberapa kali sekolah ditutup kerana pandemik Covid-19. Apabila dicampur dengan cuti sedia ada termasuk hujung minggu, boleh dikatakan setiap pelajar pergi ke sekolah lebih kurang 100 hari lebih sahaja pada tahun lepas, selebihnya duduk di rumah belajar secara dalam talian.

Di negeri-negeri yang tidak serius kes Covid-19, mungkin lebih lama berada di sekolah, tetapi tidaklah sampai 200 hari kerana cuti yang diberikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) turut menghendaki pelajar berada di rumah.

Mulai 20 Januari ini mereka yang terlibat akan kembali ke sekolah termasuklah murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah tingkatan satu, empat dan lima. Pelajar tingkatan lima akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Februari ini bersama pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vakasional Malaysia (SVM). Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM]) pula akan berlangsung 8 Mac nanti.

Maka sudah tentu mereka ini perlu belajar secara berdepan dan bukan lagi dalam talian kerana ada masalah-masalah tertentu sehingga menimbulkan rasa kurang yakin pelajar mahupun ibu bapa.

Pelajar tingkatan dua dan tiga masih tidak perlu ke sekolah tetapi akan belajar cara dari rumah bermula 20 Januari ini. Mereka dikehendaki ke sekolah semula pada 8 Mac 2011. Masa bagi mereka ini berada di rumah masih lama lagi.

Pandemik Covid-19 ternyata memberikan kesan yang amat serius terhadap bidang pendidikan negara. Bukan hanya kerana tidak ke sekolah tetapi banyak perkara lain membabitkan dunia persekolahan terpalit sama kesan pandemik ini. Bidang perniagaan membabitkan perkakas sekolah turut terkena tempiasnya.

Kedai-kedai pakaian sekolah tidaklah semeriah dulu lagi. Jualan Kembali Ke Sekolah tidak gah seperti sebelumnya. Di kedai-kedai pakaian pun tidak ada kain pemidang panjang yang menunjukkan ada jualan ini. Jarang kita dapat melihat promosi itu ini berkaitan pakaian dan peralatan sekolah.

Yang dibeli tahun lepas masih boleh diguna pakai dan masih berada dalam keadaan baik. Barangkali yang hendak dibeli ialah kasut kerana sudah tidak muat atau yang putih sudah menjadi hitam dan yang hitam sudah tidak tahu lagi warna apa sekarang.

Cuti yang panjang sebegini macam-macam boleh berlaku. Bagi yang rasa sudah cukup umur, ada yang bekerja secara sambilan walaupun pandemik Covid-19 masih ada di mana-mana kerana hendak mencari wang poket hendak beli telefon pintar atau buat isi kredit telefon pintar kalau sudah ada telefon pintar.

Tidak kurang pula yang berasa malas hendak ke sekolah. Bukan kerana tidak ada peperiksaan, tetapi oleh sebab sudah biasa sangat di rumah dengan telefon bimbit dan pelbagai rancangan menarik televisyen, hendak keluar rumah pun jadi malas. Bukan senang hendak membiasakan semula dengan alam persekolahan terutamanya bagi yang tidak celik ilmu ini.

Ibu bapa barangkali berasa lega kerana banyak belanja dapat dijimatkan apabila persekolahan bermula nanti. Bagi yang bergaji tetap, dan pekerjaannya tidak terjejas apa-apa, ataupun dan yang tidak terasa beban kewangan, masa inilah boleh hulur bantuan kepada orang miskin apatah lagi yang ada ramai anak yang masih bersekolah.

Meskipun banyak yang boleh dijimatkan, orang susah tetap berasa susah apatah lagi bagi mereka yang hilang pekerjaan atau yang masih mencari pekerjaan selepas diberhentikan kerja semasa pandemik ini berlaku. Bagi yang memulakan pekerjaan baharu, bukan mudah hendak menyesuaikan dengan situasi baharu.

Buat masa ini, belum ada ura-ura tambang van dan bas hendak dinaikkan. Apa-apa pun, apabila sekolah mula dibuka nanti, rentaknya tentu jadi lain pula. Semua ini perlu memerlukan persediaan awal untuk berdepan dengan pelbagai kerenah pihak-pihak tertentu yang berhubungkait dengan sekolah. Tetapi yang pentingnya, kita tentu berharap apabila sekolah dibuka semula nanti, pelajar-pelajar mestilah memberikan komitmen yang tinggi demi kelangsungan pendidikan yang bakal diterima dan demi masa depan mereka.

Tetapi, jika masih terdapat banyak lagi kes Covid-19 sehingga 20 Januari nanti, dan masih terdapat pula zon merah seperti yang berlaku di beberapa negeri sekarang, banyak perkara lain pula yang perlu diambil kira.

Penulis ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN