
Gunakan dengan bijak wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Skim i-Sinar sebelum menyesal selepas ia semakin ‘malap’ akibat dijoli untuk perkara yang tidak bermanfaat.
Berdasarkan maklumat awal KWSP, bayaran i-SINAR dibuat pada 11 Januari ini, namun belum dimaklumkan secara khusus tarikh pembayaran pendahuluan pada bulan pertama. Bayaran pertama mungkin melibatkan jumlah y ang agak besar, maka merancanglah dengan bijaksana sebelum wang habis entah ke pasar raya mana dibelanjakan.
Bagi pihak yang tidak mempunyai caruman KWSP yang banyak, sewajarnya tidak berasa terliur apabila ada pencarum lain yang layak mendapat RM10,000 hingga RM60,000 dari Akaun 1. Bak kata pujangga, ukur baju di badan sendiri, jangan ghairah berbelanja perkara tidak berfaedah seperti melancong ke sana sini, kononnya Cuti-Cuti Malaysia. Sedangkan pandemik Covid-19 masih lagi belum usai ‘serangannya’, maka duduklah di rumah bersama keluarga, memasak makanan kegemaran dengan bajet yang ada.
Pengalaman sepanjang tahun lepas sepatutnya sudah mengajar kita betapa pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) kehidupan kita berubah dari aspek interaksi, malahan SOP berbelanja juga wajar diubah sama. Walaupun banyak restoran menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, sewajarnya pesanan sedemikian dihadkan bagi memastikan belanja harian tidak meleset pada kemudian hari.
Sememangnya dengan pengeluaran i-Sinar boleh mengurangkan beban kewangan bulanan, namun langkah tersebut akan menjadi sia-sia jika kita menganggap duit yang banyak mampu menampung kos hidup dalam tempoh yang lama. Sebaiknya duit daripada skim i-Sinar diutamakan untuk membayar komitmen bulanan seperti bil utiliti, kos persekolahan anak-anak dan membayar hutang kawan-kawan.
Belajarlah satu petua hidup, iaitu melakukan sesuatu dengan sendiri atau dalam frasa bahasa Inggeris, Do It Yourself atau ringkasnya DIY. Jika kita boleh belajar memasak dari internet, membasuh dan mengilat kereta sendiri, belajar menggunting rambut anak, sudah pasti banyak wang boleh disimpan untuk perkara bermanfaat.
Sewajarnya i-Sinar tidak dijadikan modal melepas geram untuk membeli sport rim kereta, membeli basikal berpuluh ribu ringgit mahupun bercuti sakan hingga pokai. Bak kata pepatah, bukit kalau hari-hari ditarah, gondol juga.
Berjimat ketika ada. Gunakan i-Sinar untuk perkara penting. Jangan sampai bila duitnya habis, merayu pula untuk i-Sinar 2.0.










