LAPORAN bahawa sebanyak 259,131 kes kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepanjang tahun lalu cukup memeranjatkan.
Rakyat Malaysia perlu memandang serius perkara ini kerana kehilangan MyKad sebenarnya boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada rakyat dan juga negara. Justeru, kita perlu menangani masalah kehilangan seperti ini dengan segera.
Hakikatnya MyKad ialah dokumen cukup penting kepada setiap warganegara dan kita perlu menjaganya umpama menjaga nyawa kita sendiri. Jadi agak membimbangkan apabila begitu banyak MyKad ‘dihilangkan’ oleh anggota masyarakat kita pada tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, daripada kes yang dilaporkan, sebanyak 223,679 kehilangan berlaku akibat kecuaian pemegang MyKad itu sendiri dengan alasan yang tidak munasabah seperti hilang di dalam kediaman atau tertinggal di tempat awam. Manakala sebanyak 30,821 kes kehilangan pula berpunca daripada perbuatan jenayah selain hilang dalam bencana (4,631).
Jelas sekali kecuaian kita menjadi punca utama yang menyumbang kepada kehilangan MyKad yang sepatutnya menjadi bukti utama status kewarganegaraan masing-masing. Apa yang lebih membimbangkan, rekod JPN juga menunjukkan ada kes kehilangan MyKad dilaporkan berturut-turut setiap tahun serta ada yang membuat laporan palsu tentang kehilangan Mykad dengan alasan kononnya dicuri, diragut atau disamun.
BAHAYA
Ironinya, laporan JPN ini mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat yang masih tidak ambil kisah mahupun mempedulikan kepentingan dan keperluan untuk menjaga MyKad. Sikap dan tingkah laku seperti ini cukup mengecewakan.
Jadi kita berharap anggota masyarakat akan memandang serius perkara ini. Sedarlah betapa bahayanya jika MyKad ini jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bayangkan MyKad kita jatuh ke tangan sindiket warga asing yang sentiasa menunggu peluang seperti ini untuk melakukan aktiviti penipuan dan penyeludupan warga asing.
Mereka boleh menjana pendapatan yang cukup lumayan dengan memalsukan dan menjual MyKad kita kepada warga asing yang sanggup membayar untuk masuk ke negara kita. Malah, jika ia jatuh ke tangan para pengganas sudah tentu memberikan ancaman yang besar kepada tahap keselamatan dan kedaulatan negara.
Harus diingat, MyKad kita ini akan menjadi tiket berharga kepada warga asing dan pengganas atau siapa saja untuk bebas keluar masuk dan bergerak dalam negara ini. Bukankah ini satu persekitaran yang cukup serius?
CUAI
Kita juga risau ada kemungkinan warga tempatan bersekongkol dengan sindiket asing dengan menjual MyKad kepada mereka dan melaporkannya hilang. Kemusykilan seperti ini timbul kerana jumlah kehilangan yang direkodkan agak luar biasa dan sukar untuk dipercayai.
Justeru, kita perlu menangani dan menyelesaikan masalah kehilangan MyKad ini dengan segera kerana khuatir trend yang sama akan terus berulang pada masa-masa akan datang. Dalam hal ini, anggota masyarakat perlu mengubah sikap acuh tak acuh dan perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga MyKad.
Kecuaian dalam hal seperti ini perlu dielak dan tidak boleh diterima sama sekali. Agak tidak logik kita memberi alasan seperti ia hilang dalam rumah. Pada masa yang sama jangan juga terlibat dalam kegiatan jenayah seperti menjual kad pengenalan kerana ia umpama menjual maruah kita sendiri di samping maruah, kedaulatan serta keselamatan negara kita secara keseluruhannya.
Jadi, jaga dan simpanlah kad pengenalan dengan elok-elok. Jangan dek kecuaian atau ketamakan kita ianya bakal mengundang pelbagai kejadian jenayah mahupun ancaman keselamatan yang lain sehingga boleh membahayakan nyawa rakyat kita sendiri.
Dalam pada itu bagi ‘mengajar’ anggota masyarakat yang didapati cuai atau sengaja ‘menghilangkan’ MyKad ini, kita memohon agar pihak berkuasa meneliti semula hukuman denda yang ada.
Bayaran denda sebanyak RM100 dan RM300 untuk kes kehilangan kali pertama dan kedua sebenarnya dilihat terlalu sedikit terutamanya bagi kes yang cuai dan menipu. Malah denda maksimum RM1,000 yang dikenakan bagi kes cuai sebanyak tiga kali atau lebih juga wajar diteliti semula.
GANTUNG
Bagi penulis nilai MyKad sebenarnya tiada galang gantinya apatah lagi pada harga RM100, RM300 mahupun RM1,000. Justeru dicadangkan pihak berkuasa menetapkan hukuman denda yang berbeza mengikut kategori kehilangan.
Misalnya, jika terbukti kehilangan itu berpunca daripada faktor luar kawalan pemegang MyKad seperti bencana dan perbuatan jenayah maka kita boleh mengenakan denda pada kadar yang berpatutan.
Sebaliknya jika terbukti kehilangan itu berpunca daripada kecuaian yang nyata atau kerana aktiviti jenayah seperti menjual kepada sindiket, maka perlu dikenakan hukuman lebih tegas, keras dan setimpal.
Kita mencadangkan bagi kes seperti ini, di samping menaikkan kadar denda dari RM1,000 kepada RM5,000 atau maksimum RM10,000, mungkin sudah tiba masanya untuk mengenakan hukuman lebih serius seperti menggantung pemberian MyKad kepada individu terbabit untuk suatu tempoh tertentu seperti kita boleh menggantung atau membatalkan lesen memandu.
Walaupun kelihatan agak keras namun mungkin itu pilihan terakhir yang perlu kita teroka demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Semoga kita ambil iktibar dengan statistik yang didedahkan ini agar sama-sama menjaga kad pengenalan supaya kita tidak menyumbang kepada pelbagai kejadian jenayah yang boleh berlaku akibat daripada kecuaian diri sendiri.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










