fbpx

Hargai sikap tolong-menolong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA selalu teringat kenangan bersama arwah ayah. Banyak pengalaman kami lalui termasuk ketika berdepan detik-detik cemas. Antaranya kejadian di Ipoh pada 2017. Saya sedang berjalan di lobi hotel apabila saya terserempak suasana kecoh. Saya nampak sahabat ayah yang saya panggil Pakcik sedang dibaringkan di kerusi, dikelilingi beberapa tetamu dan pekerja hotel.

Saya segera mendapatkan ayah di bilik. Pengurus hotel memberitahu mereka telah menghubungi hospital. Ayah memeriksa keadaan Pakcik dan segera menelefon anaknya yang berada di Manjung.

Arwah ayah berasa serba salah kerana pada ketika itu dia harus menyampaikan ceramah. Lantas saya menawarkan diri untuk menemankan Pakcik ke hospital sehingga anaknya tiba. Ayah memberitahu saya beberapa maklumat penting dan berpesan apa yang patut dilakukan.

Sebaik sahaja Pakcik dimasukkan ke ambulans, kenderaan itu memecut laju menuju hospital. Paramedik meminta saya memegang alat pemeriksa tekanan darah sambil memasangkan beberapa alatan lain seraya bertanyakan maklumat tentang Pakcik.

Bukan mudah untuk menyeimbangkan diri di atas kerusi kecil sambil kedua-dua tangan saya memegang alat yang agak berat pada kelajuan sebegitu. Saya perlu berhati-hati agar tidak tergelongsor setiap kali ambulans membelok.

ZON MERAH

Setibanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, petugas kesihatan lain sudah sedia menunggu. Doktor yang bertugas di triaj meminta maklumat tentang Pakcik dan membawanya ke zon merah wad kecemasan.

Di zon merah, suasananya sangat sibuk dan mencemaskan. Kelihatan beberapa doktor sedang memeriksa beberapa pesakit yang cedera parah akibat kemalangan. Setelah siap memberikan maklumat dan membuat pengesahan tentang barang peribadi Pakcik, saya dibawa ke ruang menunggu. Seketika kemudian, saya dipanggil oleh doktor dan beliau mengesahkan Pakcik mengalami strok.

Apabila ibu sampai, barulah saya dapat minum kerana terlupa membawa duit dalam keadaan tergesa-gesa. Daripada pengalaman itu, saya kagum dengan sikap profesional dan kecekapan petugas hospital serta hotel dalam berdepan saat-saat kecemasan.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).