Melahirkan pemimpin madani di lapangan

Melahirkan pemimpin madani di lapangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini yang dipacu oleh kemajuan teknologi, persaingan global yang sengit serta perubahan sosial yang pantas menimbulkan persoalan penting, apakah ciri pemimpin masyarakat masa hadapan? Jawapannya tidak hanya terletak pada kecemerlangan akademik atau kepakaran profesional semata-mata tetapi pada pembentukan nilai kemanusiaan yang lahir daripada pengalaman hidup sebenar di lapangan.

Dalam konteks ini, kesukarelawanan melalui kepengakapan muncul sebagai platform berkesan dalam melahirkan generasi pemimpin masyarakat madani.

Kepengakapan sejak sekian lama menjadi wadah pendidikan bukan formal yang menekankan khidmat kepada masyarakat. Pengalaman awal sebagai Anak Serigala dan ahli pengakap di sekolah memperkenalkan budaya kesukarelawanan sejak kecil. Aktiviti seperti kerja sukarela mingguan, bantuan komuniti dan catatan sumbangan dalam Minggu Kerja membentuk disiplin, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Melalui Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, ahli dilatih untuk sentiasa bersedia membantu orang lain. Aktiviti seperti bantuan bencana, gotong-royong, pemuliharaan alam sekitar serta kursus kepimpinan belia menjadikan kepengakapan satu ‘sekolah kehidupan’ yang membina kemahiran insaniah secara praktikal.

Sistem patrol dalam pengakap memberi ruang kepada ahli untuk memimpin, membuat keputusan dan bekerjasama dalam kumpulan. Latihan seperti perkhemahan, pengurusan projek komuniti dan aktiviti lapangan membentuk keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan menyelesaikan masalah. Pendekatan ini menjadikan pengakap sebagai institusi pembangunan insan yang menyeluruh dari peringkat kanak-kanak hingga belia.

Nilai yang diterapkan dalam kepengakapan selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemanusiaan, kesejahteraan, integriti dan keterangkuman. Kesemua nilai ini menjadi asas dalam latihan pengakap yang menekankan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Melalui kesukarelawanan, ahli pengakap dibentuk menjadi individu yang berempati dan memahami kesusahan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Dalam situasi bencana seperti banjir, pengakap sering digerakkan bersama agensi lain seperti Bulan Sabit Merah dan Pertahanan Awam untuk membantu operasi pemindahan, pengagihan bantuan serta pemulihan pascabencana. Selain bantuan fizikal, mereka turut membantu dari sudut emosi dengan memberi sokongan psikologi asas kepada mangsa. Ini membuktikan peranan pengakap melangkaui bantuan fizikal, malah turut menyentuh aspek kemanusiaan yang lebih mendalam.

Dalam era digital hari ini, generasi muda semakin terdedah kepada gaya hidup individualistik akibat pengaruh teknologi. Justeru, kesukarelawanan pengakap menjadi mekanisme penting untuk mengimbangi kehidupan sosial mereka. Apabila belia turun padang membantu komuniti, mereka belajar menghargai realiti kehidupan serta membina hubungan sosial yang lebih sihat dan bermakna.

Pengalaman ini turut menyumbang kepada pembangunan negara. Ramai tokoh negara pernah melalui kepengakapan sebagai asas pembentukan kepimpinan awal. Ketika pandemik Covid-19 dan bencana banjir, pengakap memainkan peranan penting dalam menyokong operasi bantuan dan kesedaran masyarakat. Ini membuktikan kepengakapan bukan sekadar aktiviti kokurikulum tetapi gerakan sosial yang memberi impak besar kepada negara.

Selain itu, aktiviti pengakap seperti jambori dan projek komuniti turut menjadi platform perpaduan nasional. Ia menyatukan belia pelbagai kaum dalam suasana harmoni dan saling menghormati. Justeru, kepengakapan berperanan sebagai jambatan sosial yang memperkukuh integrasi masyarakat Malaysia.

Jika budaya ini terus diperkukuh, pengakap akan kekal sebagai tapak semaian utama melahirkan pemimpin madani yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga kaya dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad ialah Profesor Kehormat Assosiasi Dosen Pendidikan Kepramukaan Indonesia, Kaunselor Berdaftar, Felo Majlis Profesor Negara dan kini Pengarah Akademi Pengakap Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN