TAMPAKNYA Tan Sri Annuar Musa sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi setelah selama ini lebih suka berkias berlapik bahasa.
Pengguguran Ahli Parlimen Ketereh itu daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) kelmarin seolah-olah memberi isyarat pengisytiharan ‘perang’ terbuka.
Situasi dialami tokoh politik Kelantan berusia 64 tahun tersebut nampaknya jauh lebih rumit daripada menguruskan skuad bola sepak negeri itu yang popular digelar The Red Warriors.
Ironi, bagi yang sentiasa mengikuti perjalanan politik Annuar, isu dirinya diganti dengan Datuk Seri Ahmad Maslan itu sebenarnya boleh dianggap seperti penamat sebuah ‘drama’ panjang.
Malahan, beliau sendiri dalam sidang akhbar khas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam seperti lega apabila kini bebas bersuara tanpa terikat lagi jawatan politik dalam BN.
Justeru, tidak hairanlah Annuar bijak mengeksploitasi majlis tergempar itu bagi membongkar tujuh ‘dalil’ yang sekian lama disifatkan pekung rahsia UMNO sebagai punca pemecatan dirinya.
Antaranya, dakwaan sokongan secara hitam putih Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin parti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk misi menjatuhkan sendiri Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tidak cukup itu, beliau mendakwa ada percubaan dan perundingan melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan Pengerusi BN sebelum ini sebagai pembentukan Jajaran Politik Baharu.
Juga, Annuar mendakwa ada usaha menggugat kestabilan PN yang boleh menjejaskan hubungan baik UMNO, Pas dan Bersatu sebagai parti teras ‘Perpaduan Melayu Islam’ wujud di negara ini.
Beliau mendakwa, Ahmad Zahid didakwa mencetuskan situasi flip flop dalam pelbagai perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan hala tuju
Itu belum lagi seruan dibubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum yang menurut Annuar, sengaja dibuat UMNO ketika rakyat pula menderita isu wabak Covid-19 dan tekanan ekonomi.
Tidak ketinggalan ujarnya, pemimpin parti itu didakwa gagal membentuk keharmonian dan berterusan bertelagah menyebabkan terhakis keyakinan rakyat terhadap visi dibawa UMNO.
Dan dalil terakhir, UMNO sendiri didakwa Annuar tidak menghormati keputusan dibuat parti itu sendiri seperti NO DAP, NO ANWAR, sokongan en-bloc kepada pihak PN dan sebagainya.
Pendedahan dianggap ‘berani’ oleh bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut memeranjatkan banyak pihak, tetapi ia tidak pelik dek selama ini spekulasi itu lebih dianggap cerita politik kedai kopi.
Pengamat politik tanah air bahkan sudah lama menjangka nasib Annuar mungkin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat jawatan parti dan Kabinet kerana mengkritik kepemimpinan parti.
Bezanya, kali ini Annuar dilucut dek tindak-tanduk dirinya terlalu akrab dengan Perdana Menteri ketika ramai pemimpin dan ahli UMNO masih berdendam dengan Presiden Bersatu itu.
Annuar bersedia dipecat UMNO tetapi pada sidang media itu menegaskan, jika itu berlaku, parti keramat ini bertindak dwistandard seperti hukuman bertaraf antara dua darjat.
Beliau melontarkan soalan, kenapa Ahmad Zahid dan beberapa tokoh UMNO dibiar bebas tanpa hukuman, walhal dirinya pula jadi mangsa percaturan siasah agenda tersirat.
Annuar ternyata melepaskan geram yang sekian lama terpendam bagi ‘menyerang’ Ahmad Zahid ketika hampir Perhimpunan Agung UMNO bakal berlangsung di ibu negara hujung bulan ini. – UTUSAN









