Ahmad Zahid disaran ‘berehat’ - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid disaran ‘berehat’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang berkata, pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.

Katanya, langkah berundur perlu turut sama dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan kepemimpinan tertinggi, sekali gus memberi ruang serta peluang kepada generasi baharu menggalas tanggungjawab itu.

“Tindakan ini amat pen­ting agar generasi baharu terus sa­yang dan menghormati parti keramat ini.

“Berundur tidak bermakna mengalah. Beliau (Ahmad Zahid) boleh membantu parti dari luar bagi memastikan sema­ngat juang generasi baharu tidak pudar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tindakan berundur Presiden dilihat amat tepat apatah lagi beliau berhadapan dengan dakwaan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP dalam satu surat akuan bersumpah sebagaimana didedahkan Tan Sri Annuar Musa setelah dipecat daripada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Sokongan itu jelas bertentangan dengan dasar parti sebelum ini yang menetapkan ‘No Anwar, No DAP’ sebagaimana dipersetujui semua pemimpin dan ahli akar umbi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga sedang berhadapan kes mahkamah berhubung isu penyelewengan dana milik Yayasan Akalbudi selain kes ra­suah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin turut menyifatkan Majlis Kerja Ter­tinggi (MKT) semakin lemah kerana Presiden yang diterajui Ahmad Zahid selain beberapa ahli MKT dan pimpinan utamanya kini terperangkap dalam ‘kluster mahkamah’.

Memetik tulisan Shamsul Amri dalam sebuah akhbar tempatan, beliau berkata, apabila tamat riwayat kerajaan Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu dan muncul kerajaan Pakatan Nasional (PN), apa yang tinggal pada UMNO, yang kini telah bersama Pas membentuk Muafakat Nasional (MN), seolah-olah diberi ‘nyawa kedua.’

Mereka jadi sebahagian daripada kerajaan tapi tanpa sebarang taring dan jurang antara elit UMNO dan akar umbi UMNO jauh sekali dan tak mudah dirapatkan, kata beliau.

“Biduk lalu, kiambang sudah tidak bertaup lagi. MKT tidak berani membuat sebarang keputusan setelah 189 UMNO bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Bila MKT lemah, jurangnya dengan UMNO bahagian dan akar umbi sungguh melebar dan para wakil rakyat UMNO di Parlimen dan ADUN pula kebanyakan membisu, maka satu-satunya jalan keluar adalah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN