Sarawak berpotensi jadi model bandar pintar tenaga bersih

Sarawak berpotensi jadi model bandar pintar berasaskan tenaga bersih

JASON POMEROY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sarawak berpotensi memanfaatkan kelebihan sumber tenaga hidro untuk menerajui pembangunan bandar pintar berasaskan tenaga bersih, sekali gus membuka peluang baharu dalam pembangunan hartanah mampan, infrastruktur digital dan pertumbuhan industri rendah karbon.

Pengasas dan Pengetua Pomeroy Studio, Prof. Jason Pomeroy berkata, kapasiti tenaga hidro yang dimiliki Sarawak memberikan negeri itu peluang untuk merancang bandar generasi baharu dengan menjadikan tenaga boleh baharu sebagai asas pembangunan, berbanding sekadar menambah teknologi pintar kepada infrastruktur sedia ada.

Menurut beliau, bekalan elektrik boleh baharu yang banyak membolehkan Sarawak meneroka pendekatan pembangunan bandar yang mengintegrasikan reka bentuk bangunan mampan, mobiliti elektrik, sistem tenaga teragih dan infrastruktur pintar sejak peringkat awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sarawak mempunyai peluang untuk merancang bandar generasi baharunya berasaskan tenaga bersih dari awal dan bukannya perlu mengubah suai sistem sedia ada yang berintensif karbon pada kemudian hari,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan menerusi strategi peralihan tenaga yang lebih menyeluruh, dengan mempelbagaikan sumber tenaga bersih termasuk hidro, solar, biojisim dan teknologi baharu yang bersesuaian.

“Pendekatan itu penting bagi membentuk sistem tenaga yang bukan sahaja boleh baharu, malah berdaya tahan, fleksibel dan mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dalam jangka panjang,” katanya.

Pomeroy berkata, tenaga bersih perlu dilihat bukan sekadar sebagai kemudahan asas, tetapi sebagai pemangkin kepada pembangunan bandar, kemunculan industri baharu dan peningkatan daya tahan ekonomi.

“Bekalan elektrik boleh baharu berpotensi menyokong pembangunan bangunan cekap tenaga, penggunaan kenderaan elektrik, infrastruktur bandar pintar serta aktiviti ekonomi yang memerlukan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan rendah karbon,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak juga boleh meneroka pembangunan sistem tenaga teragih yang membolehkan komuniti, perniagaan dan institusi menjana, menyimpan serta mengurus tenaga secara setempat.

“Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah rangkaian mikro (microgrid) yang menghubungkan sumber penjanaan, penyimpanan dan penggunaan tenaga pada peringkat kawasan kejiranan atau komuniti.

“Ini membuka peluang untuk membangunkan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan, selain membolehkan masyarakat memainkan peranan lebih aktif dalam pengurusan tenaga dan bukannya sekadar menjadi pengguna,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan meter pintar, platform pengurusan tenaga, sistem penyimpanan tenaga dan pemantauan masa nyata boleh membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik serta menyokong pengurusan sumber yang lebih cekap.

“Bagaimanapun, pelaksanaan pendekatan berkenaan perlu disokong oleh kerangka dasar tenaga yang bersesuaian supaya komuniti, perniagaan dan institusi tempatan mempunyai ruang untuk mengambil bahagian dalam penjanaan serta pengurusan tenaga,” katanya.

Dalam usaha membangunkan bandar pintar, Pomeroy berkata, Sarawak perlu memastikan pelaburan dalam teknologi digital bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur fizikal yang mampan.

Katanya, sesebuah bandar tidak boleh dianggap benar-benar pintar jika sistem asas seperti bangunan, tenaga, pengangkutan, air dan ruang awam masih tidak cekap atau menjejaskan alam sekitar.

Beliau berkata, sensor, data raya dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu pihak berkuasa memantau prestasi bandar secara masa nyata, namun teknologi berkenaan tidak mampu menggantikan keperluan terhadap perancangan bandar yang baik.

“Teknologi sepatutnya menjadi pemudah cara, bukannya matlamat utama. Bandar pintar yang sebenar ialah bandar yang menggunakan teknologi, perancangan yang baik dan kecerdasan kolektif untuk mewujudkan persekitaran mampan, berdaya tahan dan sesuai didiami oleh generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan perancangan bandar perlu mengambil kira penggunaan tenaga, corak pergerakan penduduk, reka bentuk bangunan, penggunaan ruang awam dan hubungan sosial dalam komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini