PETALING JAYA: Tempoh kurang 10 hari menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dari tarikh keputusan Mahkamah Tinggi 22 Oktober ini merupakan fasa getir buat Perikatan Nasional (PN).
Hal ini kerana PN perlu membuat kepentingan sama ada ingin menggunakan logo dalam PRN Melaka atau sebaliknya sekiranya keputusan menghalang pelaksanaan notis penggantungan semua aktiviti gabungan itu tidak memihak kepada mereka.
Pada tarikh itu, mahkamah akan memutuskan permohonan PN terhadap perintah penggantungan inter-parte (dua pihak) terhadap notis penggantungan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkenaan penggunaan logo dan nama serta semua aktiviti parti menjelang hari penamaan PRN Melaka pada 31 Oktober ini.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Huan Cheng Guan mengakui perkara itu dan mengesahkan setakat ini kepemimpinan PN belum membuat keputusan mengenai penggunaan mana-mana logo di Melaka.
Katanya, keperluan bersedia lebih awal untuk menggunakan logo parti komponen termasuk Pas dan Wawasan adalah keutamaan buat masa ini.
Ujarnya, di peringkat Wawasan, Majlis Tertinggi akan membincangkan perkara itu pada Sabtu ini.
“Kalau masih tidak boleh guna logo PN, mungkin kita akan pakai logo sendiri atau logo Pas, tidak ada masalah. Dalam PN, kita memang ada persefahaman antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi membenarkan PN untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar notis RoS yang menggantung semua kegiatannya.
Namun sehingga 22 Oktober ini, PN kekal terhalang daripada menggunakan logo dan nama, serta semua kegiatan gabungan parti itu turut digantung sehingga pendengaran inter-parte (secara kedua belah pihak) didengar.
Sebelum ini, RoS memaklumkan pihaknya mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September 2026.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, barisan kepemimpinan yakin mereka mempunyai hujah yang kukuh untuk logo PN kembali digunakan.
Namun, katanya, dalam PRN Melaka, gabungan itu mempunyai perancangan lain untuk membolehkan PN meletakkan calon.
“Hakikat bahawa mahkamah menetapkan ada perbicaraan bermakna arahan oleh RoS itu wajar dipersoalkan iaitu kami ada kes prima facie. Apa pun kami ada pelan B,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya menunggu keputusan mahkamah dan akan membuat tindakan berdasarkan keputusan tersebut.
“Kita tunggu minggu depan, keputusan mahkamah 22 Oktober ini. Insya-Allah boleh diselesaikan,” katanya.
Idris namun enggan mengulas tentang penggunaan logo Pas dalam PRN Melaka sekiranya keputusan tidak berpihak kepada mereka.










