Tak cukup cantik ke mama? - Norlia Ghani - Utusan Malaysia

Tak cukup cantik ke mama? – Norlia Ghani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG tujuh tahun bergelar wartawan, ini kali pertama saya bersua bicara dengan pelakon hebat ini. Dia satu dalam sejuta. Satu-satunya Norlia Ghani, seniwati yang cukup saya segani.

Apabila dia menyatakan persetujuan untuk sesi fotografi, saya jadi risau. Tetapi dalam masa yang sama teruja. Apatah lagi, tatkala saya memberitahu dia hanya perlu datang membawa diri tanpa secalit solekan atau busana, dia terharu.

“Betul tak payah bawa baju atau solek sendiri? Bestnya. Rasanya sudah lama wartawan tidak panggil untuk sesi fotografi. Kita pun sudah tua, sedar diri.”

Kata-katanya cukup menusuk. Lantas saya sahut cabaran membingkaikan bintang seni ini sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera minggu ini. Siapa kata wanita berusia 72 tahun ini tidak boleh menjadi covergirl? Anda silap!

Siapa sangka di usia tinggal 28 tahun melengkapkan kiraan abad, nama Norlia Ghani sohor kini di media sosial. Segalanya bermula dengan kritikan seorang individu yang menghina rupa paras pelakon veteran itu.

“Mama pun tidak sangka. Tiba-tiba sahaja, cucu mama beritahu nama Norlia Ghani sohor kini. Mula-mula teruja tetapi bila tahu itu adalah kerana satu hinaan, mama kecil hati juga sebenarnya.

“Namun kita nak buat macam mana kan, tak semua suka mama. Tetapi mama nak tanya, mana adab kamu? Kita ini penuh dengan adab, kena hormat orang tua. Bayangkan kalau mak bapa kita yang kena hina macam itu?

“Mama susah hendak maafkan orang yang tidak beradab. Tetapi lihat kuasa Tuhan. Dia hina mama, netizen ‘bantai’ dia balik. Jadi, kita jangan hina atau kritik orang. Tak baik. Allah tak suka tau,” katanya.

Tidak mahu terus menelan rasa sakit hati, bagi pelakon Quran Buruk ini, dia pernah berhadapan dengan penghinaan lebih teruk daripada ini. Apalah sangat dihina tidak cantik dalam usia 72 tahun.

“Siapa cakap mama tak cantik? Cantik lagi tau! Tetapi cantik di usia emas lah. Mustahillah kalau muka mama muda macam umur 30 tahun. Tak tahulah kalau dia nak bergurau, tetapi tak kena tempat.

“Satu sahaja, anda sebagai orang muda perlu adab dan bahasa. Tak ada jadi kudis pun. Sekejap sahaja benda itu lekat dalam hati. Maaf itu tidak. Ini amaran, jangan buat lagi,” katanya.

Jangan Hina Kami

Di kala ini, sesiapa sahaja tidak kira apa kerjaya merasai keperitan yang sama. Sukarnya untuk mencari rezeki. Apatah lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak merencatkan ekonomi.

Namun sebagai rakyat bertanggungjawab, kita harus reda dan terima. Ini salah satu usaha untuk melandaikan lengkuk penularan Covid-19. Tidak terkecuali, pemegang watak Mami Maini dalam Anak Mami The Movie ini turut terkesan.

“Mama bukan ada produk atau perniagaan pun, Memang sejak mula berlakon sehingga kini, mama fokus dunia lakonan semata. Jadi bila jadi begini memang terjejas. Tetapi kita kena bersabar.

“Kita perlu bantu usaha membendung penularan wabak itu. Mama percaya kepada rezeki Tuhan itu ada di mana-mana. Sekarang ini, mama berharap kepada wang yang ada dan anak-anak,” katanya.

Diajak berbual soal bayaran, Norlia lantas menjengilkan mata tatkala saya memberitahu ada pelakon senior yang dibayar RM50 sehari.

Ya, itu realiti dunia seni yang mungkin tidak ramai yang tahu.

Menganggap itu satu penghinaan kepada pelakon senior sepertinya, jelas anak seni yang sudah lebih lima dekad mewarnai dunia kita ini, sikap segelintir produser yang mengambil mudah soal bayaran amat tidak patut.

“Ya, kita bukan pelakon popular, muda. Pengikut dalam media sosial pun tidak sampai berjuta. Tetapi kami ada pengalaman dan juga ‘harga’. Janganlah hina kami hanya kerana kami ini orang tua.

“Kalau RM50 sehari memang mama tak terima. Bukan demand tetapi cuba fikir guna otak. Zaman sekarang ini, pak pacak pun dapat RM80 paling rendah. Takkan hendak bayar kami RM50 sahaja,” katanya.

Sakit itu masih ada, berbekas

Tiada apa lagi yang mahu dikejar wanita besi ini. Dia sudah melalui zaman kegemilangan dan boleh berbangga dengan kenangan yang pernah diraih. Jadi untuk apa dia mengejar populariti atau sanjungan ramai.

“Mama tak mahu kejar apa-apa. Nak glamor? Dah pernah popular. Dah pernah cantik. Sampai sekarang pun, mama bersyukur dengan apa yang dimiliki. Mama tak mahu fikir banyak. Tak mahu remehkan masalah.

“Mama juga sudah tua. Cuma mahu hidup bahagia. Mama nak kejar bahagia akhirat pula. Berlakon untuk kepuasan dan mencari rezeki sahaja sekarang,” kata ibu kepada empat anak dan tujuh cucu itu.

Diaju soalan, pernahkah timbul penyesalan dalam dirinya sepanjang 50 tahun bergelar anak seni, Norlia menggelengkan kepala. Dia tidak mahu ada sesalan dalam hidup yang akhirnya memberi kesakitan dalam hati.

“Dalam hidup ini, kita tidak boleh menyesal dengan apa yang telah berlaku. Kalau difikirkan nanti kita yang stress. Kita lupakan dan teruskan hidup. Benda dah jadi dan apa yang kita boleh buat adalah belajar.

“Kalau kita tak berani dan tak sanggup hadap kecaman, jangan buat,” katanya yang dahulu pernah mencetuskan kontroversi apabila memakai skirt pendek ke sebuah majlis anugerah.

Mengimbau kembali, insiden itulah yang cukup memberi kesan dalam hatinya. Parut luka itu masih berbekas. Dia sehingga kini, tidak boleh memaafkan mulut-mulut puaka yang menghinanya.

“Sampai sekarang, luka itu masih ada. Mama tidak akan maafkan mereka. Biarlah mama berdosa tetapi setakat ini, itu cukup sukar untuk mama terima dan maafkan. Apa yang berlaku itu cukup perit.

“Sakit hati itu tetap ada sampai ke hari ini, “ kata seniwati hebat ini.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya