Seri Paduka zahirkan keamanan, perpaduan sambut Krismas - Utusan Malaysia

Seri Paduka zahirkan keamanan, perpaduan sambut Krismas

Gambar Ihsan Istana Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar perayaan Krismas membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, untuk itu Seri Paduka bertitah agar penganut Kristian tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan itu seperti kelaziman ekoran penularan Covid-19.

“Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, baginda berdua bertitah, rakyat perlu bersyukur dan bergembira ke­rana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada masa sama Fadil berkata, Seri Paduka turut menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada dan berdisiplin menjaga keselamatan serta kesihatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan serta pihak berkuasa.

“Seri Paduka berdua turut mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan selamat menyambut tahun baharu kepada seluruh rakyat jelata sempena tahun baru 2021.

“Seri Paduka berdua mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan,” katanya.

Al-Sultan Abdullah yang kini berada di Abu Dhabi, Emiryiah Arab Bersatu (UAE) sempena lawatan khas selama lima hari dijadualkan berangkat pulang ke tanah air hari ini.

Berdasarkan SOP yang telah ditetapkan, Yang di-Pertuan Agong akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik sahaja tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seri Paduka juga akan menyambut tahun baharu 2021 di Istana Negara dan akan menjalani kuarantin diri seperti yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan kepada mereka yang pulang atau masuk ke Malaysia dari luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN