Selamat Tinggal Ustaz Hamadi - Azhan Rani - Utusan Malaysia

Selamat Tinggal Ustaz Hamadi – Azhan Rani

AZHAN RANI MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

14 TAHUN lalu, dia bukan seperti sekarang. Seorang pemuda pemalu dan penuh rasa bencikan diri sendiri. Dalam sudut hatinya, dia adalah seorang lelaki yang tidak berguna. Mungkin, baginya dia bukan siapa-siapa.
Bertentang empat mata dengan pelakon hebat, Azhan Rani, bicara kami ramah berkisar perihal dirinya. Siapa sebenarnya lelaki yang kini menghitung detik 45 tahun di tangga usianya.
Ramah apabila diajak berbual, Azhan tanpa segan membuka cerita. Bergelar pelakon bukan satu impiannya. Itu mengingatkan saya tentang perbualan bersama Beto Kusyairi, teman baiknya.
Mereka berdua tidak mengimpikan berdiri berlangitkan kilauan populariti sebagai pelakon. Cukup hidup seadanya. Namun, membawakan pelbagai watak dan karakter memberi mereka nafas baharu dalam hidup.
Menghayun langkah pertama dalam drama Sesuci Cinta Sofia sekitar 2006, Azhan ketika itu hanya seorang kru produksi teater. Dia juga seorang pensyarah sambilan di sebuah universiti awam.
“Ketika itu saya disuruh mencuba membaca dialog. Kemudian dapat panggilan untuk berlakon watak antagonis dalam drama tersebut. Percaturan Tuhan membawa rezeki untuk saya sehingga sekarang.
“Saya mulanya keliru, nak berlakon ke sambung mengajar. Tetapi jujur cakap, saya tak minat jadi pensyarah. Jadi saya cuba nasib terus berlakon. Alhamdulillah, masih ada orang nak tengok muka saya sekarang,” selorohnya.

Takkan berpatah balik

Pertama kali bersua bicara dengan figura seni ini, memang perbualan kami disulami gelak tawa. Dia seorang yang cukup menghiburkan, tidak kering gusi dibuatnya. Ada sahaja lawak jenaka.
Tetapi dia akui, bergelar pelakon bukan satu kerja mudah. Kudrat yang dicurah bukan kepalang lelahnya. Namun siapa dia untuk merungut? Dia tidak sesekali menyesal atau berpatah arang dengan jalan hidup yang dipilih.
Tidak gusar dek lambakan pelakon baharu silih berganti, dia tahu rezeki itu punya cara sendiri. Tidak tercabar namun dia sentiasa memberi sokongan. Itu lebih baik daripada mengecam pelakon baharu.
“Dulu semasa mula berlakon, memang tak banyak peluang. Ada satu ketika, mak saya suruh berhenti sahaja jadi artis. Tetapi saya tidak mahu sesalan itu wujud dalam hidup.
“Saya sudah pilih jalan ini, takkan berpatah balik. Sebab itu saya tidak merungut hatta sekali walaupun terpaksa pulang lewat, berlakon bersama pelakon baharu atau apa juga cabaran,” katanya.

Escapism diri, murung

Perjalananan hidupnya penuh drama. Dia bukan hadir dengan pakej lengkap. Maka, pendakiannya berliku. Tetapi itu bukan sesuatu yang dia lelahkan. Malah, dia mensyukuri nikmat apa adanya.
Dia juga tidak punya banyak kawan. Lebih memilih untuk memendam rasa sendiri. Maka, dia jadikan dunia lakonan sebagai satu escapism untuk melupakan sebentar masalah hidup.
“Memang saya sendiri pernah kemurungan. Rasa diri loser sangat. Tetapi bila berlakon, saya jadi orang lain. Kita lompat karakter, main pelbagai watak. Dalam ayat mudah, saya lebih senang jadi orang lain.
“Sebab itu bila orang suruh jadi diri sendiri, itu adalah perkara yang sangat sukar. Saya senang termenung, fikiran menerawang jauh. Maka, saya sibukkan diri. Asah bakat lakonan,” katanya.
Seiring usianya dalam industri yang sudah melangkau sedekad lamanya, populariti bukan agendanya. Niatnya hanya mahu mencari rezeki. Soal populariti itu dia tolak tepi sahaja.
Malah, ada yang bertemu dengannya sekadar untuk memuji glamornya hidup sebagai pelakon. Hakikatnya, dia sendiri mengimpikan kehidupan normal. Hidup berkeluarga bersama isteri dan anak tercinta.
“Ada kawan jumpa cakap untunglah popular. Hakikatnya, nak sahaja saya cakap ‘ Jom tukar, kau jadi pelakon aku jadi kau’. Hidup berkeluarga. Menikmati nikmat tuhan dalam cara berbeza.
“Bukan saya tak mahu kahwin tetapi masing-masing ada cerita sendiri. Jodoh adalah ketentuan. Jika Tuhan kabulkan doa itu, saya terima. Tetapi saya tahu, kita tak dapat semua dalam hidup,” katanya.

Penunggang agama? Saya okay tetapi…

Sohor dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama bersiri Nur, dia tidak kisah andai ada yang masih menggelarnya ‘penunggang agama’. Namun hanya atas dasar watak dan lakonannya. Bukan kehidupan peribadi.
Tidak hairan dia mempersoal etika segelintir pengamal media tidak bertauliah yang menggunakan wajahnya sebagai ‘ikon penunggang agama’ tatkala negara dikejutkan dengan beberapa berita jenayah melibatkan pendakwah.
“Kalau sekadar kaitkan watak tak apa, tetapi jangan nama dan gambar saya. Watak tersebut dicipta untuk memberi dakwah kecil. Bukan untuk memalukan siapa pelakon yang membawa watak itu.
“Isu tersebut sangat sensitif. Kita tidak boleh bersorak di atas penderitaan seseorang. Kalau setakat nak cakap Ustaz Hamadi itu wujud, ya memang ada. Tetapi itu Ustaz Madi, satu watak. Saya Azhan Rani!” tegasnya.
Lebih selektif memilih watak, anak kelahiran Tanjung Karang ini mengakui sudah tiba masa untuk dia meletakkan noktah kepada watak Ustaz Hamadi yang telah mencipta fenomena sendiri.
Mana tidaknya, bukan kalangan peminat Melayu sahaja malah, peminat kaum lain juga kenal siapa Ustaz Hamadi. Tidak hairan apabila sesi fotografi ini berlangsung, tukang cuci juga menunggu waktu untuk berswafoto.
“Buat masa sekarang saya tak mahu ambil watak ustaz kecuali jalan cerita berbeza. Memang saya banyak dapat tawaran untuk memegang watak ustaz, tetapi jalan cerita sama atau dijenakakan.
“Cukuplah, legasi Ustaz Madi sudah ‘mati’. Ketika memuncak lah saya patut ‘berhenti’. Saya mahu cari karakter berbeza. Soal ‘meletup’ atau tidak, itu rezeki,” katanya menutup bicara. – Pancaindera

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN