KUALA LUMPUR: Kira-kira RM36 juta wang milik individu dan syarikat di dalam akaun bank lesap.
Itu kerugian 847 mangsa dalam tempoh tiga tahun lalu sehingga Oktober tahun ini yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jenayah itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan menyasarkan akaun milik syarikat dan individu untuk diceroboh.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Senior Asisten Victor Sanjos berkata, statistik menunjukkan kerugian paling tinggi dicatatkan pada 2018 iaitu sebanyak RM20 juta wang di dalam akaun 180 mangsa hilang.
Menurut beliau, berbanding tahun lalu nilai kerugian menurun apabila RM10 juta kerugian dicatatkan dengan 171 kertas siasatan dibuka.
“Bagi tahun ini pula, sebanyak 103 kes dilaporkan sejak awal 2019 sehingga Oktober lalu dengan kerugian RM6 juta,” katanya di sini semalam.
Kata Victor, menerusi risikan dan siasatan kehilangan wang tersebut, berkemungkinan mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka seperti username dan password sama ada secara sengaja atau tanpa disedari.
Kata Victor, penceroboh juga dikesan menggunakan teknik ‘phishing’ dengan memperdaya mangsa-mangsa menerusi e-mel atau sistem perkhidmatan ringkas (SMS) untuk mencuri maklumat peribadi seseorang.
“Emel atau SMS phishing biasanya muncul seperti ia dikirim menerusi organisasi yang sangat dikenali dan meminta maklumat peribadi seperti nombor kad kredit, nombor akaun atau nama-nama daftar masuk dan kata laluan pemilik akaun.
“Di Malaysia, sebahagian besar serangan phishing dikesan menyasarkan pengguna perbankan internet dan muslihat mereka adalah untuk mendapatkan maklumat kewangan mangsa.
“Bagi membolehkan penjenayah mendapatkan maklumat peribadi mangsa, sebuah laman perbankan internet palsu diwujudkan seolah-olah sistem itu adalah betul dan suspek kemudiannya akan memperdaya mangsa ke laman web tersebut menerusi emel yang kononnya datang dari bank beserta pautan tersembunyi yang membawa mangsa ke laman web palsu apabila diklik,” katanya.
Menurut Victor, mangsa yang terpedaya akan mengisi butiran dan menghantar melalui laman web palsu menyebabkan penjenayah mendapat maklumat mereka untuk akses ke akaun perbankan internet sasarannya.
Dalam pada itu, kata beliau, ada laporan kes kehilangan wang berlaku selepas mangsa pernah menggunakan komputer di tempat awam untuk mengakses perbankan internet yang dipercayai menggunakan cookies internet yang dapat menyimpan maklumat-maklumat nama pengguna dan kata laluan mangsa.
“Maklumat tersebut disalah guna oleh orang lain atau penjenayah. Sehubungan itu, kesedaran dan tindakan bersama semua pihak amat penting bagi membanteras penceroboh akaun bank sama ada peribadi dan syarikat dibolos penjenayah,” katanya. – UTUSAN ONLINE









