KLUANG: Sokongan anggota keselamatan pada pengundian awal hari ini, penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, undi daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencerminkan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan.
Beliau berkata, BN yakin momentum kempen parti itu kekal positif menjelang hari pengundian kerana memberi tumpuan kepada penerangan mengenai prestasi pentadbiran, inisiatif kerajaan negeri serta perancangan masa depan, bukannya menyerang pihak lawan.
“Rakyat mahu melihat rekod telah dilaksanakan dan perancangan selepas pilihan raya. Budaya politik matang perlu dipupuk terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan Pengaman Zamrud, kawasan perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.
Mengulas pertandingan kali ini yang menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bergerak secara berasingan, Syed Hussien berkata, hubungan pemimpin pelbagai parti di Kluang kekal baik dan perbezaan itu tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
Katanya, penerimaan masyarakat Melayu, Cina dan India terhadap gerak kerja BN serta kerajaan negeri terus memberangsangkan.
DUN Mahkota menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan penyandangnya Syed Hussien dicabar Ahmad Zuhan Md Zain mewakili Pakatan Harapan (PH) dari parti Amanah dan Abd Hamid Ali daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Syed Hussien menyifatkan pertandingan tiga penjuru sebagai sebahagian daripada proses demokrasi malah menegaskan pengundi kini lebih bijak menilai tawaran setiap parti.
Pengundian awal hari ini melibatkan 20,607 pengundi terdiri daripada 8,544 anggota ATM serta 12,063 anggota PDRM dan pasangan masing-masing, manakala pengundian bagi 2.7 juta pemilih akan berlangsung Sabtu ini. – UTUSAN










