KUALA LUMPUR: Kegagalan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam usul undi percaya terhadapnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam tidak boleh ditafsirkan sebagai cerminan situasi yang bakal berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Situasi itu juga tidak bermakna ia memberi kesan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana ia bersifat dalaman melibatkan Ahmad Faizal sendiri.
Pensyarah Kajian Pentadbiran dan Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, apa yang berlaku adalah sekadar satu mesej UMNO kepada PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya lebih jujur dalam berpolitik.
“Penyingkiran Faizal ini tidak bermakna ia akan berjangkit di peringkat Persekutuan kerana ini lebih kepada isu Menteri Besar itu sendiri.
“Bersatu perlu berlaku jujur kerana perkara ini bukan berlaku secara tiba-tiba sebaliknya disebabkan kegagalan untuk berunding dengan baik. Justeru, tindakan segera perlu diambil dan wajar diberi perhatian oleh PN dan Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam sidang DUN Perak semalam, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli DUN Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau.
Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim.
Pada awalnya, usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak dalam persidangan DUN yang bermula semalam.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker, Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, UMNO dan Bersatu perlu mencari jalan untuk memperbaiki hubungan satu sama lain.
“Sudah tentu ada impak kepada gabungan PN, segala-galanya bergantung kepada UMNO dan Bersatu, bagaimana kemelut mereka boleh diselesaikan tanpa menggugat peringkat Persekutuan.
“Mereka perlu memperbaiki hubungan kerana kejatuhan Faizal bukanlah berlaku tanpa sebab,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula dalam kenyataannya berkata, kemelut politik yang berlaku di Perak lebih kepada penolakan terhadap individu.
“Ini bukan isu parti. Itu sebab 48 ADUn menolak beliau dan cuma 10 menyokong,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
Tiga nama yang disebut-sebut untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar yang baharu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad, ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan mahu kerajaan PN di Perak dikekalkan.
“Semua barisan Exco Kerajaan Negeri Perak mesti diteruskan. UMNO berpendirian bahawa Bersatu dan Pas harus bersama mendokong kerajaan PN Negeri Perak.
“Undi percaya yang berlaku pada hari ini (semalam) hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri,” katanya.
Sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional, Pas pula berlainan nada apabila membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan Negeri Perak yang baharu.
Setiauasaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.
“Pas mengambil maklum keputusan Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak yang telah berlangsung di dalam Dewan Undangan Negeri Perak hari ini di mana tiga ADUN Pas menyokongnya selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat,’’ katanya. – UTUSAN ONLINE










