KUALA LUMPUR: Angkara gelap mata, beberapa penguat kuasa daripada dua agensi sanggup menerima bayaran bulanan kira-kira RM1,500 hingga RM 2,500 daripada lapan syarikat perkapalan yang membawa minyak gred berat di perairan Malaysia.
Bayaran tersebut dipercayai diberikan lapan syarikat perkapalan itu bagi mendapatkan surat kelulusan dan pengecualian khas daripada seorang pegawai kanan berpangkat Timbalan Ketua Pengarah salah sebuah agensi berkenaan.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber memberitahu, bagi melancarkan aktiviti mengangkut minyak gred berat itu, lapan syarikat perkapalan tersebut turut dipercayai membayar pegawai penguat kuasa daripada sebuah lagi agensi agar menjadi ‘mata-mata’ kepada mereka untuk memaklumkan sekiranya terdapat operasi penguat kuasa di perairan negara akan dilakukan.
Bukan itu sahaja, kata sumber, mereka juga akan ditaja dengan melakukan aktiviti golf setiap bulan selain menerima pelbagai barangan mewah seperti kenderaan, jam tangan, beg tangan serta wang tunai agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka meskipun syarikat tersebut telah melanggar syarat dalam melakukan aktiviti pengisian minyak di perairan negara.
“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan SPRM mengenai penglibatan empat lagi syarikat perkapalan berhubung perkara ini selain mengenal pasti penglibatan individu lain dalam aktiviti ini,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata sumber, surat larangan penggunaan jenis kapal Single Hull dan Double Bottom di dalam aktiviti pemindahan minyak gred berat di perairan negara telah dikeluarkan kerajaan pada Ogos lalu.
Yang mana, ujar sumber, larangan itu dibuat kerana minyak gred berat adalah sejenis minyak likat yang tidak mudah mengalir mengikut keadaan takungan biasa selain ia digunakan sebagai bahan api pengangkutan laut dan jika tumpah atau berlaku kebocoran boleh mengakibatkan pencemaran laut.
“Pengeluaran surat pengecualian terhadap lapan syarikat ini dipercayai atas arahan seorang Setiausaha Bahagian sebuah Kementerian tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan namun siasatan masih dibuat mengenai perkara itu,” ujarnya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, dua individu termasuk seorang pengarah agensi penguat kuasa direman SPRM bagi membantu siasatan kes skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia.
Kedua-dua suspek berumur di antara 50 dan 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini antara pukul 9 hingga 12 malam pada 14 Disember lalu selepas hadir memberikan keterangan.
Sementara itu, dalam kes berkaitan, seorang timbalan ketua pengarah sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk yang direman pada Jumaat lalu, disambung reman selama tiga hari lagi sehingga esok.
Pada masa sama, empat daripada suspek termasuk Setiausaha Bahagian dan pengarah syarikat bergelar Datuk Seri yang turut direman pada tarikh sama dilepaskan dengan wang jaminan antara RM9,000 hingga RM15,000. – UTUSAN










