KPM utamakan rawatan mangsa, sistem sokongan psikososial warga sekolah

KPM utamakan rawatan mangsa, sistem sokongan psikososial warga sekolah

FADHLINA Sidek meninjau sekolah menengah di Banting, Selangor yang menjadi lokasi kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditikam, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir meninjau sekolah menengah di Banting dekat sini yang menjadi lokasi kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditikam, pagi tadi.

Beliau tiba sekitar pukul 1.20 tengah hari dan bertemu pengurusan sekolah bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kejadian tersebut.

Fadhlina berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil semua langkah keselamatan bagi mengawal keadaan termasuk menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian.

“Tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Semoga pengetua, guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Fadhlina turut memohon orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu atau mereka fitnah kerana kes sedang disiasat polis.

“Terima kasih di atas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat.

“Insya-Allah jika ada perkembangan berkaitan kes ini (yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa) akan saya kongsikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal memaklumkan, polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.50 pagi.

Berdasarkan maklumat diterima daripada seorang wanita, terdapat seorang pelajar perempuan cedera dalam kawasan sekolah.

Hasil siasatan mendapati, mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang pelajar perempuan dan kini dirawat di Hospital Banting serta berada dalam keadaan stabil.

Suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN