16 peserta sertai misi tawan Gunung Kinabalu Puspanita JPM

16 peserta sertai misi tawan Gunung Kinabalu Puspanita JPM

Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Majlis Pelepasan Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita Cawangan JPM Tahun 2026 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Misi Tawan Gunung Kinabalu Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang julung kali dianjurkan merupakan manifestasi kepada usaha memperkukuh aspek fizikal, mental, emosi dan spiritual dalam kalangan wanita penjawat awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Penasihat Puspanita Cawangan JPM, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, program pendakian seperti ini adalah penting dalam membina daya tahan ataupun resilien seseorang individu

“Ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter ini sebenarnya bukan sekadar perjalanan untuk sampai ke puncak. Ia adalah satu kembara untuk kita ‘menakluki diri sendiri’ melalui disiplin, kesungguhan dan memahami erti kesabaran.

“Oleh itu, kepada 16 peserta yang bakal bertolak nanti sematkanlah pesanan ini. Cabaran sebenar yang menanti bukanlah pada permukaan yang curam mahupun persekitaran yang mencabar pernafasan tetapi bagaimana kita mengawal rasa takut, penat, dan ragu-ragu dalam diri sendiri,” katanya berucap pada Majlis Pelepasan Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita Cawangan JPM Tahun 2026 di sini hari ini.

Seramai 16 peserta akan mengikuti misi tersebut bermula 14 sehingga 17 Julai depan diketuai Pengerusi Puspanita Cawangan JPM, Puan Sri Dr. Azlifah Bahari yang juga merupakan ketua delegasi.

Misi itu diadakan bertujuan menguji ketahanan mental dan fizikal ahli Puspanita Cawangan JPM yang terlibat di samping meningkatkan kecergasan, semangat kerja berpasukan melalui penglibatan dalam aktiviti lasak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN