KUALA LUMPUR: Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) bakal menghantar lima pasukan lelaki negara ke Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters 2026 yang dijadual berlangsung di Belanda dan Belgium dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini.
Penyertaan itu menyaksikan Malaysia bersaing dalam lima kategori umur iaitu 40 tahun, 45 tahun, 50 tahun, 60 tahun dan 65 tahun, sekali gus membuktikan komitmen berterusan bekas pemain kebangsaan dan negeri dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Bagi kategori 40 tahun, aksi akan berlangsung di HC Schiedam, Schiedam, Belanda, manakala kategori 45 tahun dan 50 tahun dijadual beraksi di HC Rotterdam, Belanda dari 22 Julai hingga 1 Ogos.
Sementara itu, kategori 60 tahun akan bertanding di HC Olympia, Brasschaat, Antwerp, Belgium, manakala kategori 65 tahun beraksi di BHV Push, Breda, Belanda dari 6 hingga 16 Ogos.
Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan paling berprestij dalam kalangan pemain hoki veteran dunia dan dianjurkan setiap dua tahun.
Edisi 2026 adalah penganjuran kelapan sejak World Masters Hockey (WMH) ditubuhkan pada 2012 hasil penyatuan International Masters Hockey Association (IMHA) dan World Grand Masters Association (WGMA), sekali gus menghimpunkan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai kategori umur.
Bagi memastikan kontinjen negara membuat persiapan terbaik, Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) menganjurkan Majlis Santapan Hi Tea Diraja sebagai platform kutipan dana bagi menyokong misi lima skuad negara ke kejohanan berkenaan.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Penaung Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS), sekali gus menzahirkan sokongan baginda terhadap pembangunan serta kesinambungan sukan hoki negara.
Turut hadir ialah Presiden SAS, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah serta Pengerusi Penganjur Majlis Kutipan Dana SAS, Tan Sri Datuk Seri Rashpal Singh Randay.
Majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana bagi memperkukuh persiapan kontinjen negara, malah menjadi platform menghargai jasa bekas pemain kebangsaan yang masih aktif mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Selain itu, program tersebut turut membuka peluang kepada badan korporat, penaja dan individu untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha memperkasakan skuad hoki veteran negara dalam misi memburu kejayaan di Piala Dunia Hoki Masters 2026.
Sebagai rekod, Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) ditubuhkan pada 1994 dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan hoki veteran negara dengan menghimpunkan bekas pemain kebangsaan dan negeri.
Persatuan itu juga berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, membuktikan semangat dan daya saing pemain veteran Malaysia kekal utuh meskipun tidak lagi beraksi di pentas profesional.-UTUSAN










