Pengawal peribadi ke tali gantung - Utusan Malaysia

Pengawal peribadi ke tali gantung

JA'FAR Halid dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam selepas didapati bersalah membunuh majikannya dan dua lagi individu dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu empat tahun lalu. - UTUSAN/MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pengawal peribadi dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh majikannya dan dua lagi individu dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Ja’afar Halid, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dia disabit membunuh majikannya, yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lain, Choi Hoi Ming, 32 dan Senthil Murugiah, 38, dengan menembak menggunakan sepucuk senjata api di susur masuk masuk ke Jambatan di lebuh raya berkenaan antara pulul 7.15 malam dan 7.30 malam 1 Disember 2016.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi lima pertuduhan (setiap pertuduhan 15 tahun penjara) atas cubaan membunuh dengan menembak lima individu iaitu Lee Hong Boon, 59, di dada kiri; Nurul Huda Ab Aziz, 42, di bahu; Puah Bee Joo, 36, di bahu; Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 32, di dada kiri dan K. Arivarni, 37, di kepala.

Hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari dia ditangkap pada 1 Disember 2016.

Dalam keputusannya, Abdul Wahab berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan perbuatan tertuduh ketika kejadian boleh dikategorikan sebagai kelakuan individu tidak waras atau tidak mempunyai akal sempurna.

Katanya, tertuduh juga menyedari kelakuan agresifnya ketika itu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan oleh polis termasuk tidak cuba melarikan diri dan tidak meletakkan senjata ketika diarahkan.

Malah, tambahnya, tembakan yang dilepaskan tertuduh juga terkena pada bahagian penting mangsa seperti kepala dan dada, bukannya dilepaskan secara rawak.

Ujar beliau, perbuatan itu bukan tindakan seseorang yang tidak waras sebaliknya jelas menunjukkan tertuduh mempunyai niat mencederakan mangsa.

Dalam pada itu, Ja’far turut berdepan atas lima tuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu lagi di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Seramai 37 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan tertuduh diwakili peguam Y. Anbanathan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN