SEPANG: Tambang yang sepatutnya dicaj hanya RM60, namun seorang pelancong China dikenakan caj melampau sehingga RM836 oleh ‘ulat’ teksi bagi perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Kuala Lumpur.
Itu pendedahan dibuat Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli mengenai kegiatan ulat teksi di KLIA Terminal 2, baru-baru ini.
Menurutnya, pada awalnya, mangsa hanya bersetuju membayar RM60 namun, apabila tiba di destinasi mangsa dikehendaki membayar sebanyak RM836.
“Mangsa seterusnya diugut dan tidak dibenarkan keluar dari kenderaan sekiranya enggan menjelaskan bayaran yang dituntut pemandu terbabit sebaik tiba di destinasi.
“Kadar caj itu jauh lebih tinggi berbanding tambang perkhidmatan teksi atau limosin berlesen yang kebiasaannya sekitar RM65 hingga RM80 bagi laluan sama.
“Kegiatan ulat ini kebanyakannya menyasarkan pelancong asing yang baru tiba di balai ketibaan dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Ulat di KLIA Terminal 2, di sini hari ini.
Katanya, kegiatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencemarkan imej negara serta menjejaskan keyakinan pelancong asing terhadap sistem pengangkutan awam Malaysia.
Jelasnya lagi, perkara itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi ketika negara giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly berkata, pihaknya turut mengesan warga asing, khususnya dari Bangladesh, yang menjalankan kegiatan ulat di KLIA dan menyasarkan rakan senegara.
Selain itu, katanya, terdapat juga pemandu e-hailing yang memiliki lesen dan permit sah, namun bertindak menunggu penumpang di balai ketibaan tanpa menggunakan aplikasi bagi mengelakkan sistem giliran serta mengenakan caj lebih tinggi.
“Mereka tidak menggunakan aplikasi kerana mahu mendapatkan pelanggan secara terus dan menetapkan kadar tambang sendiri yang jauh lebih tinggi,” katanya.
Katanya, tindakan sedemikian melanggar syarat permit dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk menyita kenderaan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Menerusi Operasi Khas Ulat yang dilaksanakan di KLIA dari 12 hingga 26 Jun lalu, JPJ telah menyita 54 kenderaan yang digunakan dalam kegiatan ulat membabitkan 27 kenderaan persendirian, dua kenderaan syarikat, 16 kenderaan e-hailing dan sembilan teksi.
Secara keseluruhan, dari Januari hingga Jun tahun ini, JPJ telah memeriksa 151 kenderaan di KLIA, mengambil tindakan terhadap 131 daripadanya dan menyita 133 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – UTUSAN










