GAZA: Pergerakan Islam Palestin, Hamas pada Isnin mengumumkan pembubaran badan yang mentadbir Semenanjung Gaza selama hampir dua dekad, sekali gus membuka laluan kepada sebuah jawatankuasa teknokrat untuk mengambil alih pentadbiran awam.
Langkah itu menandakan perubahan politik yang besar bagi Hamas, yang mentadbir Gaza sejak pejuangnya mengambil alih wilayah itu daripada pergerakan Fatah pada 2007 selepas memenangi pilihan raya legislatif setahun sebelumnya.
Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa di Gaza pada Oktober tahun lalu, kumpulan itu berulang kali menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada pentadbiran harian. Namun, isu pelucutan senjata Hamas yang rumit masih belum menemui penyelesaian.
“Ketua Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan, Mohammed al-Farra, secara rasmi telah mengemukakan peletakan jawatan.
“Beliau juga memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa itu bagi memudahkan peralihan pentadbiran dan pemerintahan kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG),” kata Ketua Pejabat Media Kerajaan Hamas, Ismail al-Thawabta, kepada AFP.
NCAG ditubuhkan oleh Lembaga Keamanan yang diwujudkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau menjadi pengantara dalam memeterai gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada Oktober 2025.
“Hamas telah mengambil satu langkah baharu apabila ia tidak lagi akan mentadbir Semenanjung Gaza, bagi menghapuskan sebarang alasan yang digunakan oleh pihak pendudukan yang terus menerus melakukan pencerobohan dan perang pemusnahan.
“Kami berharap NCAG dapat memasuki Gaza secepat mungkin dan Hamas mengesahkan kesediaannya untuk menyerahkan tanggungjawab pentadbiran kepada jawatankuasa itu bagi memastikan kejayaannya,” tambah jurucakap Hamas, Hazem Qassem, kepada AFP.
Seorang pegawai Hamas sebelum ini memberitahu kumpulan itu sudah memaklumkan keputusan berkenaan kepada beberapa lagi kumpulan Palestin dalam satu mesyuarat yang diadakan di Kaherah baru-baru ini.
“Semua kumpulan menyambut baik keputusan Hamas itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah serius ke arah membantu memudahkan NCAG melaksanakan peranannya sebagai pentadbir,” katanya.
Pembubaran badan pentadbiran Hamas itu membuka laluan kepada NCAG, yang diketuai oleh teknokrat Palestin, Ali Shaath untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran di wilayah berkenaan.
NCAG bagaimanapun telah beroperasi di luar Gaza sejak beberapa bulan lalu, dipercayai berikutan bantahan Israel terhadap kemasukannya ke wilayah yang musnah akibat peperangan itu.
Hamas dan beberapa kumpulan Palestin lain dilaporkan mengadakan beberapa pusingan rundingan di Kaherah bersama pihak pengantara bagi merapatkan perbezaan pendapat, khususnya berhubung pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata di Gaza.
Fasa pertama gencatan senjata melibatkan pembebasan baki tebusan Israel yang ditahan Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang dipenjarakan Israel.
Peralihan kepada fasa kedua, yang sepatutnya melibatkan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari Gaza, bagaimanapun tertangguh selama beberapa bulan.
Malah, tentera Israel dilaporkan telah memperluaskan kehadirannya di wilayah itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan menguasai hampir 70 peratus kawasan Gaza.
Sementara itu, Hamas menuntut supaya sebuah pentadbiran Palestin diwujudkan terlebih dahulu sebelum ia mempertimbangkan untuk menyerahkan mana-mana bahagian daripada senjata yang dimilikinya.
Persoalan mengenai pentadbiran Gaza selepas perang kekal menjadi antara isu utama yang menghalang rundingan bagi melaksanakan fasa kedua gencatan senjata.
Israel menolak sebarang kemungkinan Hamas kembali berkuasa, namun pada masa sama turut menolak pengambilalihan secara langsung oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Ramallah pada peringkat ini.-AFP










