Nikah Siam online tidak sah - Utusan Malaysia

Nikah Siam online tidak sah

MOHD. TAMYES ABD. WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan Malaysia yang bernikah di Thailand secara dalam talian adalah tidak sah dan tidak akan diiktiraf oleh mana-mana jabatan agama Islam di negara ini.

Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, pernikahan secara online hanya boleh diadakan jika mendapat kelulusan khas malah masih ada proses yang perlu dilalui secara fizikal.

“Di Selangor misalnya, nikah online diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam tempoh singkat sebelum Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kembali mengadakan secara fizikal.

“Walaupun nikah online sekali pun, ada proses yang masih perlu dibuat secara fizikal seperti perakuan surat nikah, mengenal pasti wali dan pengantin serta perlu dijalankan oleh jurunikah bertauliah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau menasihatkan kepada pasangan yang ingin berkahwin supaya melalui proses yang sah di sisi undang-undang dan agama Islam.

Katanya, nikah tanpa melalui proses sah akan memberi kesan kepada anak-anak di masa akan datang.

“Proses perkahwinan ini tidak boleh dibuat seperti membeli barang secara online, ia harus bersistematik dan mengikut syarak. Ambillah jalan halal, ini demi masa depan zuriat.

“Jika anak hendak berkahwin dan didapati anak tidak sah taraf kerana surat nikah ibu bapa tidak diiktiraf, ini akan menimbulkan masalah, jadi perlu ada kesedaran terhadap perkara ini,” katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan nikah Siam secara online menjadi popular dalam kalangan pasangan Malaysia selepas beberapa ejen muncul di Kedah dan Perlis yang menawarkan khidmat itu berikutan penutupan sempadan di Thailand akibat Covid-19.

Pasangan hanya perlu hadir di lokasi tertentu bagi urusan pernikahan dalam talian, sebelum menerima surat nikah dan dokumen-dokumen lain yang didakwa sah dalam masa beberapa hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN