Mengapa Peja disingkir? - Utusan Malaysia

Mengapa Peja disingkir?

AHMAD Faizal Azumu mengadakan sidang akhbar sejurus selepas gagal meraih sokongan majoriti menerusi undi percaya DUN Perak, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEJAK hari pertama menjadi Menteri Besar, saya sudah de­ngar ada gerakan untuk menjatuhkan saya.”

Itu kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa menjadi Menteri Besar kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ditanya mengenai dakwaan ada wakil rakyat kerajaan ketika itu yang mahu menjatuhkan beliau.

Walaupun dakwaan itu dikatakan benar-benar berlaku, namun sebagai Menteri Besar, Ahmad Faizal tidak mudah melatah bagi memastikan kerajaan PH terus memerintah dan berjaya bertahan selama 22 bulan.

Perkara yang menjadi rasa tidak puas hati ketika itu cumalah soal jawatan beliau sebagai Menteri Besar walaupun hanya memiliki jumlah kerusi paling sedikit berbanding parti dalam dalam PH.

Di sebalik cerita beliau mahu disingkirkan, Ahmad Faizal kekal sebagai Menteri Besar sehinggalah PH tumbang.

Malah, dalam pelbagai cerita sentiasa hendak digulingkan, beliau dua kali menjadi Menteri Besar Perak.

Cerita sama berulang dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila timbul semula dakwaan wujud usaha untuk menggulingkan beliau daripada kerusi menteri besar.

Walaupun berkali-kali di­nafikan, akhirnya menerusi undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti.

Apakah punca Ahmad Faizal disingkirkan setelah gagal meraih sokongan dalam kalangan ahli Dewan?

Difahamkan, ia disebabkan parti sekutu dalam PN tidak berpuas hati terhadap beliau dalam banyak perkara.

Antaranya, gagal mengotakan janji yang sudah dipersetujui dalam perbincangan di peringkat parti terutama dalam pengagihan jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Selain itu, ada juga isu ahli parti peringkat akar umbi me­ngenai pelantikan pemimpin dalam jawatankuasa pemba­ngunan dan keselamatan kampung yang dikatakan tidak diagih secara adil.

Apa pun, dua kali menjadi ketua kerajaan negeri Perak, ia­itu Menteri Besar Ke-12 dan Ke-13, Ahmad Faizal sememangnya seorang yang sangat bertuah.

Bermula satu kerusi sebagai wakil rakyat DUN Chenderiang Ahmad Faizal berjaya menarik empat wakil rakyat untuk menjadikan Bersatu kini mempu­nyai lima kerusi DUN.

Tetapi pemimpin tanpa majoriti sentiasa seperti berjalan di atas lapisan kaca yang nipis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN