Masa depan cerah jika produk laku di negeri Che Siti Wan Kembang - Utusan Malaysia

Masa depan cerah jika produk laku di negeri Che Siti Wan Kembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Nak tahu satu-satu produk kesihatan atau kecantikan bakal meletup atau tidak di seluruh Malaysia, boleh cuba jual di Kelantan dulu. Jika laris di Kelantan, nescaya produk itu mampu menembusi pasaran di seluruh negara,” kata Pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Vida

Perkara itu diakui beberapa pengasas kosmetik tempatan yang ternama apabila mendapati produk keluaran syarikat mereka cukup laris umpama ‘pisang goreng panas’ apabila melibatkan hasil jualan di Kelantan.

Vida, anak kelahiran Tanah Merah berkata, kebanyakan usahawan kini cenderung menjadikan Kelantan sebagai penanda aras untuk menentukan kejayaan produk.

Pengurus Pemasaran Dnars Skincare, Irdiena Hakim Jasman pula memberitahu, dari segi jualan tahunan syarikat, Kelantan sentiasa menjadi antara tiga negeri tertinggi bersama Johor dan Kuala Lumpur.

Katanya, Dnars Skincare yang kini mencecah 13 tahun usia mempunyai kira-kira sejuta pengguna serta 2,500 stokis, ejen dan dropship di seluruh negara dengan majoriti mereka dari di Kelantan.

“Apa yang saya nampak, pengguna Kelantan suka membeli produk kami kerana berkesan, berkualiti, harga mampu milik serta terjamin kesucian dan status halal. Ini antara faktor Kelantan jadi antara lokasi jualan tertinggi setiap tahun,” katanya.

Perkara sama disebut Pengarah Urusan FR Kaseh Sdn. Bhd., Faizul Rohban yang popular dengan minuman kesihatan Arjuna Kaseh dan Manja Kaseh serta rangkaian
produk kecantikan Kaseh Skincare.

Faizul memberitahu, sokongan padu pembeli dari Kelantan membolehkan produknya tetap laku, biarpun menolak pendekatan mempromosi produk dengan cara membuat gimik dan mencetuskan kontroversi sebagaimana dilakukan usahawan lain.

“Kita sebaliknya menitikberatkan aspek pendidikan dengan menggalakkan pengguna membeli produk Kaseh Skincare yang berasal daripada bahan semulajadi, iaitu kunyit putih yang ditanam menggunakan baja organik,” katanya.

Sementara itu, pengasas VQudrat, VSlim dan VBeauty and Salon, Vivi Sumanti Che Ahmad memberitahu, potensi pasaran luas di Kelantan, ditambah faktor jualan online menyebabkan hasil jualan produknya tidak terjejas sepanjang musim pandemik.

Dalam masa sama, dia melihat berlaku ledakan industri kosmetik era baharu apabila semakin ramai anak gadis Kelantan berani mengeluarkan produk kosmetik dengan jenama sendiri dan bergelar usahawan pada usia muda.

“Zaman saya dulu, kami perlu sediakan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk keluarkan produk di bawah jenama sendiri. Ini tidak termasuk bahagian pengiklanan lagi dan sewa premis.

“Sekarang kilang-kilang tetapkan bayaran minimum RM500 hingga RM5,000 sahaja. Itu yang semakin ramai berani keluarkan produk, lagipun mereka tak perlu buka kedai macam dulu-dulu, semuanya melalui online,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN