Mahkamah terkhilaf tolak saman pemula anak luar nikah - Utusan Malaysia

Mahkamah terkhilaf tolak saman pemula anak luar nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam diberitahu, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menolak saman pemula yang difailkan oleh seorang anak luar nikah bagi mendapat perintah perisytiharan bahawa dia penganut agama Buddha.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika berhujah mewakili Rosliza Ibrahim berkata, status agama anak guamnya diragui kerana bapa wanita itu yang beragama Islam tidak pernah berkahwin dengan ibunya yang beragama Buddha.

Hujah beliau, tiada bukti yang menunjukkan Rosliza, 39, dan ibunya memeluk Islam manakala perkahwinan kedua-dua ibu dan bapanya tidak didaftarkan.

Dalam hujah bertulisnya, Sri Ram menyatakan, ibu perayu turut membuat akuan bersumpah bahawa dia tidak berkahwin dengan bapa Rosliza ketika wanita itu dilahirkan selain membesarkan anaknya sebagai penganut Buddha sejak lahir.

Hujah Sri Ram lagi, butiran yang terkandung dalam kad pengenalan bukan merupakan bukti yang konklusif bagi mengesahkan identiti agama yang dianuti oleh anak guamnya.

Sehubungan itu, Sri Ram berhujah Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menolak saman pemula manakala Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika mengekalkan keputusan tersebut.

Dengan itu, perayu memohon perisytiharan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa mendengar saman pemulanya dan mengisytiharkan wanita itu bukan penganut agama Islam.

Sementara itu, responden pertama iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan responden kedua iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sepakat menyatakan Rosliza beragama Islam dan sebarang pertikaian yang dikemukakannya adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang diputuskan dalam keputusan majoriti Lina Joy.

Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib selaku responden pertama berhujah, Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) menyatakan, seseorang itu adalah Islam jika salah satu daripada ibu bapanya beragama Islam.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun mencelah meminta kepastian status anak yang lahir hasil hubungan bapa beragama Islam manakala ibunya bukan penganut agama itu dalam keadaan pasangan itu tidak berkahwin manakala anak itu mengaku tidak mengamalkan ajaran Islam.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed turut mempertikai status Rosliza sedangkan tiada rekod yang menunjukkan kedua-dua ibu bapanya berkahwin secara sah.

Sementara itu, Abdul Rahim Sinwan yang mewakili MAIS berhujah, dalam keadaan bapanya seorang Islam manakala ibunya bukan beragama Islam, status anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa, sebaliknya mengikut ibunya.

Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim bersidang akan memutuskan keputusan pada satu tarikh lain.

Yang turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Azahar, Datuk P. Nallini, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN