Kos haji tinggi, kerajaan diminta berunding dengan Arab Saudi - Utusan Malaysia

Kos haji tinggi, kerajaan diminta berunding dengan Arab Saudi

Md. Daud Che Ngah berharap kerajaan Malaysia dapat berunding dengan Arab Saudi tentang caj yang tidak membebankan jemaah haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan per­­lu berunding dengan Arab Saudi berhubung caj tambahan yang lebih berpatutan kepada bakal haji yang bakal me­nunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Anda­lusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, caj perkhid­matan di agensi swasta biasanya sekitar RM30,000 tetapi disebabkan prosedur operasi stan­dard (SOP) ekoran pandemik Covid-19, kemungkinan akan menyebabkan caj tambahan mencecah sehingga RM50,000.

“Jemaah haji tidak boleh lari dari bayaran caj lebih tinggi. Disebabkan Covid-19, mereka perlu menyediakan wang tambahan untuk membayar beberapa kos seperti kos pergerakan jemaah, kos perubatan, saringan Co­vid-19, kos makanan dan tem­pat tinggal.

“Bas juga tidak boleh membawa semua jemaah kerana penjarakan fizikal, jadi kita merayu kerajaan dapat berunding dengan Arab Saudi untuk memberikan caj yang wajar dan boleh diterima bagi meringankan beban jemaah,” kata­nya di sini semalam.

Pada masa sama, Daud turut meluahkan rasa bimbang terhadap kuota jemaah yang kemungkinan akan dikurangkan.

“Kalau tahun lepas, Malaysia mendapat kuota seramai 30,200 tetapi tahun ini tidak dapat dilakukan jadi tahun depan mungkin akan dikurangkan.

“Arab Saudi sebelum ini benarkan sehingga tiga juta jemaah tetapi sudah tentu mereka tidak akan benarkan seramai itu lagi sebab jemaah perlu patuh kepada SOP, ibadah haji seperti tawaf akan ambil masa lebih lama kerana penjarakan fizikal, giliran menunggu akan bertambah dan lebih ramai tidak boleh pergi,” katanya.

Bagaimanapun, Daud berkata tidak ada jemaah haji dari agensinya yang menarik diri sebaliknya masih berharap dapat menunaikan ibadah tersebut.

Dalam pada itu,Pengarah Masamas Travel & Tours Sdn Bhd, Abdul Muiz Sulaiman turut mengakui jemaah haji akan berdepan dengan kenaikan kos untuk bilik penginapan dan pengangkutan.

“Dulu satu bilik boleh muat enam jemaah dengan harga pakej keseluruhan sekitar RM30,000 ke RM40,000. Sekarang hanya dua jemaah dibenarkan dalam satu bilik, jadi ia akan mencecah RM70,000 ke RM80,000. Ini amat membebankan.

“Bas juga sebelum ini boleh naik 50 orang tetapi tahun depan hanya 25 orang, jadi kita terpaksa sewa lebih banyak bas. Tempoh untuk berada di Arab Saudi sebelum ini dalam sebulan lebih juga mungkin akan dipendekkan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bakal jemaah haji diminta supaya bersedia dengan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Katanya, kerajaan menjangkakan beberapa syarat dan caj tambahan baharu akan dikenakan berikutan SOP dan langkah keselamatan yang dikuatkuasakan Arab Saudi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kos jemaah haji muassasah TH adalah RM9,980 berban­ding jumlah sebenar bernilai RM22,900. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN