KANGAR: Sejak 10 tahun lalu, jumlah pasangan dari Malaysia berkahwin di Thailand yang didaftarkan di Perlis sebanyak 1,825 pasangan dengan purata kira-kira 182 pasangan setiap tahun.
Selain individu biasa, terdapat juga ramai dalam kalangan orang kenamaan (VIP) dan juga artis negara ini yang memilih bernikah di negara jiran kerana mahu berpoligami dan tidak kurang pula memilih jalan ‘halal’ tersebut kerana hubungan mereka tidak mendapat restu keluarga.
Bagaimanapun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 selain penutupan pintu sempadan negara sejak Mac lalu menyebabkan jumlah perkahwinan di Thailand merosot sehingga 70 peratus sepanjang tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatan kuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Ruzaini Rais berkata, penutupan pintu sempadan negara sejak PKP sehingga hari ini menyebabkan jumlah pasangan yang memilih untuk berkahwin di Thailand turun mendadak.
Katanya, berikutan itu, ramai yang mempunyai hasrat untuk berkahwin di negara jiran itu terpaksa menangguhkan terlebih dahulu niat mereka.
Sebagai rekod katanya, sebanyak 1,825 pasangan yang berkahwin di negara jiran itu telah didaftarkan di negeri ini sejak 2010.
Jelasnya, faktor utama mereka memilih kahwin di Thailand adalah berdasarkan sebab ingin berpoligami iaitu sebanyak 70 peratus manakala faktor lain pula adalah atas halangan keluarga iaitu sebanyak 26 peratus.
“Manakala, tiga peratus pasangan menganggap proses berkahwin di sana lebih mudah serta tidak mahu mengikut adat dan tradisi seperti kenduri kahwin dan satu peratus lagi adalah lain-lain sebab,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ruzaini, terdapat juga golongan VIP dan juga artis yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan mereka di Thailand namun beliau tidak boleh mendedahkan identiti pihak tersebut bagi menjaga privasi pasangan terbabit.
“Memang ada kahwin di Thailand dalam kalangan VIP dan artis. Tahun lalu ada satu pasangan yang perkahwinan mereka didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” katanya.
Katanya, proses mendaftarkan perkahwinan pasangan yang menikah di luar negara tidak rumit jika pasangan tersebut mempunyai dokumen yang lengkap.
Jelasnya, pasangan hanya perlu hadir ke JAIPs dengan mengemukakan dokumen yang mendapat pentauliahan dari Majlis Agama Islam Thailand serta mampu membuktikan perkahwinan mereka itu berlaku dan sah mengikut syarak.
“Dokumen yang penting untuk dibawa ke JAIPs adalah surat nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Thailand dan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Thailand.
“Jika semua dokumen ini lengkap, maka perkahwinan mereka boleh didaftarkan di bawah Enakmen Keluarga Islam 2006 Perlis,” katanya. – UTUSAN










