SHAH ALAM: Selepas 12 hari pendakwah selebriti direman bagi membantu siasatan pelbagai kes seksual termasuk merogol, tampil seorang lagi individu merupakan jururawat di sebuah hospital swasta mendakwa menjadi mangsa terbaharu.
Wanita berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur mendakwa telah dicabul pendakwah selebriti terbabit.
Mangsa mendakwa telah dicabul iaitu dipeluk dari arah belakang oleh suspek di rumahnya di Seksyen 7 di sini, Disember tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pukul 4 petang, Ahad lalu.
“Berdasarkan laporan mangsa mengenali suspek melalui media sosial pada 2018.
“Buat masa ini, keseluruhan laporan polis yang diterima berkaitan pendakwah tersebut adalah sembilan kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Seri Muda, Seksyen 25 di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, daripada sembilan kes yang dilaporkan, tujuh daripadanya dilaporkan di Shah Alam dan selebihnya di Petaling Jaya.
“Bagaimanapun dua daripada kes tersebut diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) kerana kejadian yang dilaporkan itu tidak berlaku.
“Tujuh kes lain akan diteruskan siasatan dan kita akan melihat semua sudut dengan mengumpul semua maklumat berkenaan kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Terdahulu, perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 25 tahun disambung lagi lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Pendakwah selebriti ditahan pada 26 November lalu kira-kira pukul 11 malam selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. – UTUSAN ONLINE










