Penyerahan LCS TLDM kekal hujung tahun ini

Penyerahan LCS TLDM kekal hujung tahun ini

MOHAMED Khaled Nordin ketika Sesi Penerangan Menteri berkaitan isu pembatalan lesen eksport Sistem NSM di Dewan Rakyat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan seperti dijadualkan hujung tahun ini, meski tanpa sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan berikutan pembatalan perolehan misil antikapal (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jadual penyerahan kapal kekal seperti dirancang walaupun terdapat kekurangan pada sistem persenjataan ter­tentu.

“Daripada segi penyerahan kapal, walaupun kita tidak ada sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kalau ikut lunas, jadual penyerahan masih seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
“LCS pertama sepatutnya pada Disember 2026 walaupun kita tidak ada sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan.

“Tapi saya ingin nyatakan, seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya tadi kapal LCS ini juga mempunyai pelbagai sistem persenjataan yang lain. Kita hanya tidak ada surface to surface missile,” katanya dalam Sesi Penerangan Menteri berkaitan isu pembatalan lesen eksport sistem NSM di Dewan Rakyat, semalam.

Mohamed Khaled berkata, LCS masih dilengkapi pelbagai sistem persenjataan lain seperti meriam 57 milimeter (mm).

“Jika kita hendak hadapi soal peperangan permukaan. Kita ada senjata terhad seperti meriam 57mm buat ketika ini. Sistem persenjataan yang kita ada adalah untuk peperangan antikapal selam, maksudnya misil ke kapal selam.

“Kita juga ada peperangan antiudara dan kita juga ada sistem peperangan elektronik untuk ganggu orang lain punya sistem jika ada serangan terhadap kita dan sebagainya.

“Dalam masa kita tidak ada sistem-sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kita boleh dapat bantuan daripada TUDM. Kita ada F/A-18D yang ada keupayaan melancarkan misil udara ke permukaan untuk menampung jurang keupa­yaan peperangan anti permukaan LCS dengan menggunakan Harpoon ataupun Maverick,” katanya.

Beliau berkata, aset baharu melalui Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 dijangka tiba sekitar hujung tahun 2027 yang dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan dengan jarak sehingga 200 kilometer (km).

“Apabila kapal kedua LMS Batch 2 sampai pada bulan Oktober, November, Disember 2027. Kita ada surface to surface missile 200 km jaraknya.

“Jadi kita doa mudah-mudahan dalam masa kita run­ding untuk mencari alternatif kepada NSM, pada ketika kita hendak siapkan LCS 2, 3, 4 kita sudah ada sistem baharu untuk menggantikan NSM,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN