KANGAR: Ramai penduduk negeri ini mengeluh apabila harga barang basah seperti cili merah dan bawang merah naik sehingga tiga kali ganda.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Sena di sini mendapati, harga cili merah dan cili padi mencecah sehingga RM20 sekilogram.
Bawang besar pula dijual pada harga RM10 sekilogram selain bawang kecil dengan harga sekitar RM12 sekilogram.
Sebelum ini, harga cili merah besar sekitar RM15 sekilo, cili padi RM13, bawang merah kecil RM5 dan merah besar RM4 pada September.
Peniaga bawang, Tan Tong Lai, 74, berkata, harga bawang naik kira-kira sebulan lalu disebabkan berlaku banjir di India menyebabkan bekalan berkurangan kerana tidak dapat dieksport ke sini.
Menurut Tong Lai, dia perlu membuat tempahan awal iaitu kira-kira sebulan untuk mendapatkan bekalan bawang tersebut dengan harga memang melambung.
“Pelanggan mengeluh tentang harga naik tetapi kami tidak berupaya buat apa-apa kerana bekalan berkurangan menyebabkan harga pun naik,” katanya.
Peniaga sayur, Rosni Saad, 49, pula berkata, harga cili merah besar naik daripada RM14 kepada RM20, peningkatan yang berterusan sejak beberapa bulan lalu.
“Untuk cili, kalau pemborong menawarkan harga lebih RM20 sekilogram, saya tidak akan mengambilnya kerana kasihan kepada pembeli sebab terpaksa jual pada harga yang tinggi.
“Kalau cili merah besar saya akan ambil yang gred B kerana harganya lebih rendah berbanding gred A,” katanya.
Menurut peniaga makanan, Nurul Syamira Abdul Rahim, 36, harga bawang besar naik daripada RM2.50 sekilogram beberapa bulan lalu kepada RM10 ketika ini.
“Kebiasaan saya membeli barang secara borong, jika beli dengan harga runcit kesannya akan lebih terasa. Saya lihat harga bawang memang naik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan di pasar tersebut semalam.
Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, daripada pemeriksaan ke atas 18 premis yang merangkumi enam pasar dan 12 pasar raya utama di negeri itu mendapati kenaikan melebihi seratus peratus harga purata direkodkan iaitu bagi bawang besar manakala harga cili padi, cili merah besar (kulai) dan cili merah besar (minyak) pula mencatatkan kenaikan antara 27 hingga 40 peratus.
Jelasnya, harga bawang mencatatkan kenaikan sejak November lalu manakala harga tertinggi cili merah besar (kulai) pernah direkodkan pada bulan yang sama iaitu RM25 sekilogram.
“Kenaikan harga itu berpunca fenomena cuaca dan serangan penyakit. Namun begitu, pemantauan harga terus dilakukan setiap hari, bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga tanpa sebab munasabah,” ujarnya
Tambah beliau, bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 buah negara yang mana lima pengeksport terbesar adalah India sebanyak 36 peratus, Pakistan (23%), China (19%), Belanda (9%) dan Thailand (7%).
Daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengimportan bawang sebanyak 149.53 juta kilogram.
Dalam perkembangan lain, tinjauan mendapati, harga ayam segar, daging dan ikan berada pada tahap yang stabil. – UTUSAN










