KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merancang mengambil alih kepentingan dalam FGV Holdings Berhad (FGV) dengan nilai RM658 juta.
Untuk berbuat demikian, Felda akan mengambil alih 6.1 peratus kepentingan dalam FGV daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM289.2 juta dan 7.78 peratus kepentingan daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) dengan nilai RM368.8 juta.
Agensi itu ketika ini memiliki 21.24 peratus pegangan dalam FGV.
Dalam notisnya bagi mewakili Lembaga Pengarah Felda, Maybank Investment Bank berkata, agensi itu telah menandatangani perjanjian pembelian saham (CSPA) dengan kedua-dua syarikat tersebut semalam.
Menurut notis tersebut, Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya akan mempunyai pegangan terkumpul lebih 50 peratus setelah pengambilalihan itu selesai sekali gus mencetuskan tawaran ambil alih mandatori (MO).
“Sekiranya CSPA menjadi tanpa syarat, Felda akan memberi tawaran notis mandatori kepada Lembaga Pengarah FGV,” kata notis itu.
Selain itu, Maybank Investment menjelaskan, cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada Felda bersama PAC mendapatkan kawalan statutori ke atas FGV dalam usaha untuk melaksanakan pelan transformasi dan penstrukturan semula Felda serta syarikat berkaitannya untuk memperkukuh perniagaan utama dalam sektor perladangan.
“Pengambilalihan ini akan memberikan kawalan ke atas tanah ladang dan rantaian bekalan bersepadu FGV dan anak syarikatnya dalam Kumpulan FGV.
“Ini akan membuka laluan untuk kerjasama yang lebih besar dalam aktiviti perniagaan untuk Felda dan Kumpulan FGV, serta membekalkan Felda dengan akses kepada aktiviti hiliran bernilai tambah tinggi yang dijalankan Kumpulan FGV dalam sektor perladangan,” katanya.
Oktober lalu, Felda bercadang untuk membatalkan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan FGV bagi mengambil semula tanah ladang yang dipajakkan kepada syarikat itu sebelum memutuskan untuk turut mengambil alih kilang yang terletak dalam tanah tersebut. – UTUSAN ONLINE










