TUMPAT: Berkarisma, matang dan tegas. Gara-gara personalitinya itu, umur Irdiena Hakim Jasman sering disangka sudah mencecah pertengahan 20-an, sedangkan anak pengasas Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad itu baru berusia 17 tahun.
Benar. Ramai terkejut dan sukar menerima fakta ini terutama pihak yang pernah bertemu dan berurusan secara rasmi dengan beliau yang bertindak sebagai Pengurus Pemasaran Dnars Skincare sejak lebih setahun lalu.
Anak kedua daripada empat beradik itu kini menjadi teraju utama empayar kosmetik peninggalan arwah ibu bersama abangnya, Iqbar Hakim, 21, yang memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan syarikat.
“Kadang-kadang kami terlupa Diena baru di Tingkatan Lima, dek kerana kematangan dan kualiti pemimpin pada dirinya,” ujar para pekerja ketika kunjungan Utusan Malaysia ke pejabat Dnars Skincare di Pasir Pekan, di sini baru-baru ini.
Antara momen paling diingati para pekerja, apabila Irdiena Hakim terpaksa bergegas dari sekolah ke pejabat dan terus ‘masuk kerja’ tanpa sempat menukar pakaian seragam kerana terlalu sibuk menyelesaikan urusan penting syarikat.
Sementara itu, Irdiena Hakim atau mesra dipanggil Diena tersenyum mendengarnya lalu menjelaskan, didikan awal oleh arwah ibu tentang selok-belok perniagaan membuatkan beliau tidak berasa kekok untuk menjadi pemimpin dan menguruskan syarikat.
Katanya, beliau terbabit secara aktif dalam bahagian pengurusan sejak Mei tahun lalu, iaitu tidak lama selepas arwah ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Thailand.
“Secara jujur, saya belum ada sebarang kelulusan atau sijil, tetapi bidang perniagaan sudah saya terokai sejak kecil. Saya antara anak yang sering dibawa bersama sejak arwah berniaga di pasar malam lagi.
“Saya juga menyaksikan jatuh bangun dan pahit-jerih dilalui ‘mommy’ sebelum berjaya. Sebab itu kami anak-anak berikrar akan memastikan Dnars terus kukuh dan impian arwah, iaitu menjadikan Dnars sebagai satu jenama antarabangsa, tercapai,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu itu turut memberitahu, memandangkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir, beliau perlu membahagikan masa sebaik mungkin untuk memimpin syarikat dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Alhamdulillah, Allah anugerahkan kepada saya satu perasaan, iaitu minat mendalam terhadap bidang perniagaan. Jadi saya tidak pernah rasa terbeban walaupun terpaksa berkejar ke sekolah dan pejabat, serta belajar dan bekerja setiap hari.
“Tidak pernah timbul isu saya membazir usia muda yang sepatutnya dipenuhi dengan aktiviti menyeronokkan. Kalau nak tahu, berniaga produk kosmetik inilah cara tersendiri saya berseronok,” katanya. – UTUSAN










