KUANTAN: RM274,000. Itu jumlah duit insurans yang didakwa dibayar syarikat insurans kepada Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya.
Sehubungan itu, bekas isteri Allahyarham, Jamilah Ismail, 38, mahu penjelasan daripada balu Mohd. Zahir, Nour Shafinar Harun, 32, berhubung urusan pembahagian duit berkenaan kepada dua anaknya yang sehingga kini tiada perkembangan.
Jamilah berkata, dua anaknya lelakinya, Mohamad Remy Iskandar, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, layak menerima duit insurans berkenaan kerana mereka adalah anak arwah.
Katanya, dia dimaklumkan oleh syarikat insurans bahawa jumlah bayaran yang diterima oleh bekas suaminya adalah RM274,000 beserta khairat kematian RM6,000.
“Saya pernah bertanya dengannya (Nour Shafinar) tentang faraid insurans berkenaan, dia maklum akan berbincang dahulu tentang perkara itu.
“Selepas itu dia senyap dan terus mendiamkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini, Nour Shafinar ketika menjelaskan keadaan dirinya yang dituduh menafikan hak bapa mentuanya, A.R. Badul dalam kes pembahagian harta berkata, Allahyarham suaminya tiada sebarang harta kerana sudah diisytihar muflis.
Jelas Nour Shafinar, tentang pertikaian berkenaan insurans kelompok yang diterima, memang dia sudah menerimanya namun buat masa ini dia masih belum memberikannya kepada pihak bapa mentuanya lagi.
Jamilah berkata, dia berasa sangat terkilan kerana dua anaknya seperti dinafikan hak mereka oleh Nour Shafinar untuk menerima wang insurans berkenaan.
Dalam pada itu, dia menafikan bekas suaminya adalah seorang yang muflis.
“Saya 10 tahun bersama Allahyarham, setahu saya arwah tidak muflis, hanya disenarai hitam. Itupun saya difahamkan sudah selesai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










