JOHOR BAHRU: Bukan sahaja selatan Thailand, wilayah kepulauan Batam di Indonesia tidak terlepas menjadi lokasi pilihan lelaki Malaysia melangsungkan pernikahan dengan cara mudah selain tanpa pengetahuan isteri di tanah air.
Jika di Thailand melibatkan pasangan suami isteri dari Malaysia yang mungkin tidak mendapat restu ibu bapa atau isteri pertama, lain pula di Batam apabila membabitkan lelaki yang mahu memperisterikan wanita di pulau itu.
Hal ini kerana wanita Batam menjadi pilihan lelaki negara ini untuk dijadikan pasangan kerana beberapa faktor antaranya tarikan dan kemampuan golongan itu memberikan layanan 100 peratus terbaik kepada suami masing-masing.
Menurut pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berdasarkan kajian dilakukannya terhadap 15 responden melibatkan kaum lelaki berkerjaya beberapa tahun lalu, majoriti menyifatkan wanita Indonesia mempunyai tarikan dan pandai melayani suami dengan diibaratkan ‘menatang minyak yang penuh’ selepas melangsungkan perkahwinan.
Katanya, malah mereka mempunyai sifat kewanitaan seperti wanita Melayu Malaysia sekitar 60 tahun lalu iaitu sentiasa memenuhi kehendak suami pada setiap masa dan tidak melawan pada setiap permintaan.
“Berbanding wanita Malaysia mungkin disebabkan sibuk bekerja di samping menjalankan kerja rumah, kriteria ini sudah tidak berlaku pada mereka. Jadi suami seolah-olah tidak dilayan dengan baik.
“Namun ketika berkunjung atau melancong ke Batam, lelaki Malaysia terjumpa atau diperkenalkan dengan wanita di sana dan akhirnya tertarik kerana mendapati kriteria dikehendaki itu ada pada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, kajian yang dilakukannya itu melibatkan lelaki sudah berumah tangga dan mempunyai pendapatan stabil untuk memperisterikan wanita dari Indonesia khususnya Batam.
Katanya, namun wanita Batam tidak sewenang-wenang memilih lelaki Malaysia kerana mereka akan memilih pasangan yang berkerjaya di samping mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.
“Malah bagi sesiapa pernah pergi ke sana, mungkin agak janggal atau terkejut apabila ada pihak tertentu menawarkan wanita untuk diperisterikan. Bagi wanita di sana, tidak kisah berkahwin walaupun seketika dengan teman sementara asalkan cukup bulan mereka dapat nafkah,” katanya.
Dalam pada itu Mohammad Shatar menjelaskan, situasi ini tidak akan berlaku sekiranya pasangan suami isteri memainkan peranan masing-masing dan saling memahami antara satu sama lain dalam menjaga keutuhan rumah tangga.
“Jika suami faham isteri manakala isteri pula faham suami, saya merasakan tidak akan berlaku lelaki Malaysia mencari wanita Batam. Kita kena ingat sebagai suami isteri kena saling melengkapi sesama sendiri,” katanya. – UTUSAN










