Agong, Tengku Hassanal sertai operasi cari Loqman - Utusan Malaysia

Agong, Tengku Hassanal sertai operasi cari Loqman

AL- SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (depan) mengikuti operasi pencarian mangsa lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tebing Tinggi di Temerloh, semalam. – UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’­aya­tuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencari­an mangsa lemas, Loqman Ham­­ka, 20, di Kampung Tebing Tinggi di sini semalam.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah meluangkan masa kira-kira sejam menyertai operasi mencari menaiki bot bersama pasukan mencari dan menyelamat.

Terdahulu Seri Paduka tiba di pusat operasi mencari di Kampung Tebing Tinggi pada pukul 2.50 petang sebelum mendengar taklimat tentang operasi pencarian.

Al-Sultan Abdullah kemudian bertemu dengan keluarga mangsa memberikan kata-kata semangat dan menyampaikan sumbangan.

Dalam pada itu, bapa mang­sa, Hamka Abu Bakar, 62, berkata, kehadiran Yang di-Pertuan Agong amat bermakna dalam waktu sukar dihadapi­nya ketika ini.

“Saya berterima kasih bersyu­kur kerana Seri Paduka sudi meluangkan masa kepada rakyat seperti kami.

“Saya meminta anak saya dapat ditemukan kembali kerana saya berharap anak dapat dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, operasi hari ketujuh semalam akan diteruskan dua hari lagi.

Ujarnya, operasi berkenaan akan ditumpukan di kawasan tumpuan seperti melakukan penyelaman di bawah sangkar ikan.

Loqman dikhuatiri lemas selepas hilang ketika merawai ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Kunjan di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tersebut, mang­sa keluar menaiki bot untuk memeriksa rawai yang dipasang di Sungai Pahang.

Bagaimanapun bot dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hanyut oleh penduduk setempat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN