Tempatkan calon secara berpusat - Utusan Malaysia

Tempatkan calon secara berpusat

RAMAI berpendapat kerajaan wajar menangguhkan sesi persekolahan 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta mempertimbangkan ca­­da­ngan untuk menempatkan ca­lon-calon peperiksaan secara berpusat di asrama berdekatan mereka bagi membolehkan golongan itu meneruskan proses pembelajaran secara lebih berkesan di bawah pemantauan guru.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, penempatan secara berpusat itu merupakan jalan terbaik terutama kepada kalangan B40 yang berdepan kekangan dari segi gajet dan liputan Internet bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam talian.

Dalam masa sama, katanya, inisiatif itu juga dapat meningkatkan kembali motivasi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang terganggu atau tertekan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Memandangkan sekolah termasuk asrama ditutup bermula semalam hingga bulan depan tetapi guru-guru berada di ste­sen, jadi adalah baik jika calon peperiksaan khususnya golo­ngan B40 dibenarkan berada di asrama supaya dapat mengulang kaji pelajaran dengan pemantauan pendidik mengikut prosedur operasi khas (SOP) khas yang ditetapkan.

“Kita faham kebanyakan mereka sudah bersiap-sedia untuk peperiksaan dan penempatan berpusat bakal memberi kesan positif kepada calon-calon berbanding belajar bersendirian di rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengumumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementeriannya di seluruh negara ditutup bermula semalam sehingga 17 dan 18 Disember ini selaras untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Katanya, tarikh peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM turut dipinda dengan bermula pada 22 Februari 2021 manakala bagi STPM pula bermula pada 8 Mac 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN