UTeM cipta sejarah, diiktiraf Malaysia Book of Records dalam pengurusan tenaga lestari

UTeM cipta sejarah, diiktiraf Malaysia Book of Records dalam pengurusan tenaga lestari

PEMBERIAN sijil pencapaian MBOR oleh Wakil MBOR kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan kecemerlangannya apabila melakar satu lagi sejarah membanggakan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian “Most Sustainable Energy Management Practices Awards by a Higher Education Institution”, sekali gus menjulang nama UTeM sebagai peneraju pengurusan tenaga lestari di Malaysia.

Pengiktirafan berprestij itu meletakkan UTeM sebagai institusi pengajian tinggi yang paling konsisten meraih pengiktirafan dalam pengurusan tenaga lestari menerusi kejayaan di peringkat kebangsaan dan Asia Tenggara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju inovasi teknologi hijau serta kelestarian alam sekitar.

Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, dengan disaksikan Tun Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, pada Majlis Malam Gala Apresiasi UTeM Bersama Tun Canselor, baru-baru ini.

Massila berkata, kejayaan itu bukan sekadar menambah satu lagi rekod kebangsaan buat universiti, malah menjadi bukti bahawa budaya kecemerlangan, inovasi dan kelestarian yang diterapkan di UTeM terus membuahkan hasil serta mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi.

“Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini merupakan manifestasi komitmen seluruh warga UTeM yang sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan agenda pengurusan tenaga lestari.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa UTeM telah berjaya menzahirkan kecemerlangan yang memberi impak langsung kepada negara, masyarakat dan pembangunan teknologi hijau di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan MBOR itu adalah hasil kejayaan UTeM mengumpulkan lima anugerah utama sepanjang tempoh 2021 hingga 2024 menerusi National Energy Awards (NEA) dan ASEAN Energy Awards (AEA).

Pada 2021, UTeM mencipta kejayaan berganda apabila memenangi kategori Energy Management in Large Building dan Special Award for Institute of Higher Learning di peringkat NEA sebelum mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul anugerah Energy Management in Large Building pada ASEAN Energy Awards 2021 di Brunei.

Momentum kecemerlangan itu diteruskan pada 2024 apabila UTeM sekali lagi muncul juara kategori Energy Management in Large Building di peringkat NEA, sekali gus menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang berjaya memenangi kategori tersebut sebanyak dua kali.

Kejayaan bersejarah itu dilengkapkan apabila UTeM terus mengungguli pentas serantau dengan meraih Energy Management Award for Buildings & Industry pada ASEAN Energy Awards 2024 di Vientiane, Laos.

Pencapaian cemerlang itu dipacu oleh Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) yang menjadi nadi kepada pelaksanaan sistem pengurusan tenaga lestari universiti melalui penggunaan ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS), sistem pemantauan tenaga berasaskan Internet of Things (IoT), pengoptimuman Building Management System (BMS) serta pembangunan matriks pengurusan tenaga dalaman MaPTeP.

Menurut Massila, kejayaan ini jua turut membuktikan keupayaan UTeM menterjemahkan penyelidikan, inovasi dan kepakaran akademik kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada negara dalam usaha memperkukuhkan agenda pembangunan mampan dan peralihan tenaga.

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk UTeM terus melahirkan lebih banyak inovasi, memperkukuh budaya kelestarian dan memperluaskan jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Kami akan terus memperkasakan agenda kampus rendah karbon dan teknologi hijau agar UTeM kekal menjadi universiti teknikal pilihan serta institusi rujukan dalam pengurusan tenaga lestari di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini bukan sahaja menjadi kebanggaan seluruh warga universiti, malah memperkukuhkan jenama UTeM yang terus tersohor sebagai universiti teknikal yang sentiasa mendahului dalam inovasi, teknologi, kelestarian dan kecemerlangan, selaras dengan aspirasi melahirkan penyelesaian teknologi untuk kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN