Tiga pelan strategik sokong NDC 3.0 Malaysia dibentang

Tiga pelan strategik sokong NDC 3.0 Malaysia dibentang

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pelan tindakan strategik bagi menyokong Nationally Determined Contribution (NDC) 3.0 Malaysia kepada Perjanjian Paris dibentangkan dalam Mesyuarat Ketujuh Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1/2026, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memperkukuh hala tuju tindakan iklim negara melalui keputusan strategik bagi mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan berkata, tiga pelan berkenaan ialah Pelan Tindakan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender serta Strategi Pembiayaan dan Pelaburan.

Menurut NRES, ketiga-tiga pelan tindakan itu menjadi pemangkin pelaksanaan komitmen iklim negara secara inklusif, adil dan mampan.

“Mesyuarat diadakan bertujuan memperkukuh hala tuju tindakan iklim negara melalui keputusan strategik bagi mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

“Ketiga-tiga pelan tindakan ini menjadi pemangkin pelaksanaan komitmen iklim negara secara inklusif, adil dan mampan, demi memastikan manfaat peralihan kepada ekonomi rendah karbon dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut NRES, mesyuarat itu turut meneliti empat kertas pertimbangan dan satu kertas makluman yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan rendah karbon.

Katanya, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan melantik Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai National Focal Point bagi Fund for Responding to Loss and Damage (FRLD) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Katanya, pelantikan itu bertujuan memperkukuh akses Malaysia kepada pembiayaan antarabangsa berkaitan impak perubahan iklim.

“Selain itu, mesyuarat turut membincangkan persiapan penyertaan Malaysia ke Persidangan Negara Ahli Ke-31 UNFCCC (COP31) di Antalya, Türkiye bagi memperkukuh komitmen negara dalam rundingan perubahan iklim di peringkat antarabangsa.

“Mesyuarat juga menerima pembentangan Country Climate and Development Report (CCDR) oleh Bank Dunia sebagai rujukan strategik dalam memperkukuh dasar serta agenda pembangunan ekonomi rendah karbon negara,” katanya.

NRES berkata, status pelaksanaan Program Bandar Rendah Karbon yang diterajui oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut dibentangkan.

Katanya, program itu menunjukkan kemajuan positif dalam menyokong pengurangan pelepasan gas rumah kaca serta memperkukuh pembangunan bandar mampan.

Menurut NRES, kerajaan kekal komited memperkukuh tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim melalui pendekatan menyeluruh melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, institusi kewangan, komuniti dan rakyat.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan komitmen di bawah Perjanjian Paris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN