GEORGE TOWN: Barang kes bernilai RM1.28 juta membabitkan 565 kertas siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut akan dilupuskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas pengurusan barang kes serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan itu melibatkan barang kes di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) yang telah mendapat perintah pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah.
“Sebanyak 218 kertas siasatan di bawah BSJD akan dilupuskan melibatkan 15 kes kontraban, sembilan kes hiburan (noda) dan 194 kes judi (dadu), dengan nilai keseluruhan barang kes dianggarkan RM120,146.
“Selain itu, BSJKD pula akan melupuskan barang kes berupa VCD dan DVD lucah bernilai RM1.15 juta membabitkan 347 kertas siasatan bagi tempoh 2010 hingga 2017,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan nilai barang kes yang akan dilupuskan dianggarkan bernilai RM1.28 juta hasil pelbagai operasi membanteras mesin perjudian, penjualan nombor ekor haram, kegiatan maksiat, kontraban serta Op Ostrich.
“Antara barang kes yang akan dilupuskan pula termasuk minuman keras, rokok, peralatan hiburan serta VCD dan DVD,” katanya.
Sementara itu, Dennis berkata, proses pelupusan barang kes merupakan aspek penting dalam pengurusan penyiasatan kerana bukan sahaja memastikan stor simpanan berada dalam keadaan teratur dan selamat, malah, mengelakkan risiko penyalahgunaan barang rampasan.
“Langkah ini turut mencerminkan komitmen polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN







