PUTRAJAYA: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (Temco) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Sabah yang sepatutnya berakhir semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Temco di dua kawasan itu dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 13 Disember ini selepas mengambil kira penilaian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan.
Beliau menjelaskan, sehingga 27 November lalu, masih terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak dan 136 kes aktif di Penempatan Telipok yang disahkan oleh pihak kementerian itu.
Selain jumlah kes aktif yang masih agak tinggi, beliau menjelaskan, terdapat ramai penduduk di kedua-dua lokaliti berkenaan perlu menjalani ujian saringan pengesanan wabak Covid-19.
Dalam pada itu katanya, polis menahan lebih ramai individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.
“Daripada 648 individu itu, seramai 594 individu dikompaun manakala 54 lagi direman dengan kesalahan terbesar melibatkan 331 individu melakukan aktiviti di pusat hiburan,” jelasnya.
Katanya, sebanyak 102 individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 65 pula tidak memakai pelitup muka dan 64 lagi kes rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.
Ujarnya, turut dikenakan tindakan ialah 60 individu kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan baki 26 kes lagi melibatkan pelbagai kesalahan yang lain.
Menyentuh pelaksanaan Operasi Benteng semalam, beliau berkata, sebanyak 99 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup ditahan, malah dua kenderaan darat dirampas.
“Sebanyak 280 sekatan jalan raya dengan sebahagian besar melibatkan 212 di bawah Op Penawar terdiri daripada tentera, polis dan rela serta 59 lagi Op Benteng polis,” katanya.
Berhubung barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat 654 pemantauan harian.
Jelasnya, ia meliputi 12 jenis bekalan barang membabitkan 457 peruncit, 164 pemborong dan 33 pengilang yang secara keseluruhan, keperluan adalah cukup serta mudah diperoleh.
Mereka juga ujar beliau, melakukan 518 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard dan mendapati kesemua premis telah mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau juga memaklumkan terdapat 25 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meliputi empat zon merah, empat zon kuning dan dua zon hijau. – UTUSAN ONLINE










