KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli menjelaskan luahan mengenai perasaan sunyi yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini bukan petanda dirinya mengalami kemurungan atau masalah keresahan.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, perasaan tersebut hadir secara tiba-tiba pada lewat malam sehingga memberi kesan mendalam terhadap emosinya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia tidak mempunyai sesiapa untuk diajak berbual sekali gus menyebabkan perasaan sunyi itu semakin kuat.
“Bukan selalu saya rasa sunyi, tetapi pada hari itu perasaan tersebut datang secara tiba-tiba. Saya bukannya mengalami keresahan atau ‘anxiety’.
“Ketika itu sudah lewat malam dan tiada sesiapa yang boleh saya ajak berbual. Perasaan tersebut benar-benar memberi kesan kepada emosi saya sehingga saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Astro Fandom di D Theatre, Empire Damansara, Selasa lalu.
Menurut Kamal, perkongsian tersebut dibuat bagi mendapatkan pandangan individu yang pernah melalui pengalaman sama mengenai cara mereka mengendalikan perasaan berkenaan.
Katanya, dia menerima pelbagai pandangan dan nasihat daripada pengguna media sosial termasuk golongan profesional serta agamawan.
“Ramai yang menyuruh saya berjumpa keluarga, tetapi perkara itu bukan berkaitan keluarga.
“Saya cuma mahu tahu bagaimana individu yang pernah melalui situasi sama menghadapinya. Saya tidak menyangka ramai yang berkongsi pandangan termasuk golongan profesional dan alim ulama.
“Saya membaca pandangan mereka satu demi satu dan dapat memahami serta mengaitkannya dengan apa yang saya rasakan. Alhamdulillah, selepas itu saya kembali tenang,” ujarnya.
Anak jadi sumber kebahagiaan
Kamal berkata, antara perkara pertama yang dilakukannya selepas melalui pengalaman tersebut adalah meluangkan masa bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira.
Menurut pelakon filem Abang Long Fadil itu, kehadiran anaknya memberi ketenangan dan menjadi sumber utama kebahagiaannya ketika ini.
“Keesokan harinya saya terus mencari Hawra. Selepas dapat berjumpa dengannya, saya rasa kembali okey.
“Saya memang gembira apabila bersamanya. Setiap kali berjumpa Hawra, saya akan memberikan sepenuh perhatian. Saya tidak memegang telefon kerana hanya mahu meluangkan masa dengannya.
“Saya bimbang sekiranya perasaan itu datang semula kerana sebelum ini saya tidak pernah mengalaminya. Itu kali pertama perasaan tersebut memberi kesan begitu kuat terhadap diri saya,” katanya.
Ditanya sama ada rasa kesunyian tersebut mendorongnya untuk mencari pasangan hidup baharu, Kamal berkata, perkara itu belum menjadi keutamaannya ketika ini.
“Saya belum melihat ke arah itu. Sekarang saya gembira kerana mempunyai Hawra.
“Berada dekat dengannya menjadi punca utama kebahagiaan saya ketika ini,” katanya.
Terdahulu, Kamal menjadi perhatian pengguna media sosial selepas berkongsi luahan mengenai perasaan sunyi dan kosong yang hadir secara tiba-tiba.
Menerusi satu hantaran di Threads, dia mengakui diserang rasa kesunyian yang sukar digambarkan sehingga tertanya-tanya mengenai cara terbaik untuk mengatasinya.
Untuk rekod, Kamal pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Uqasha Senrose pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Mereka kemudiannya disahkan bercerai pada 12 Januari lalu.










