Seri Paduka harap kerajaan perhalusi cadangan Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Seri Paduka harap kerajaan perhalusi cadangan Belanjawan 2021

Al-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - IHSAN ISTANA NEGARA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara dalam majlis menghadap yang berlangsung selama 70 minit di Istana Negara, semalam.

“Seri Paduka turut dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak bulan Julai 2020, melalui lebih 40 sesi libat urus yang melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk para wakil daripada parti-parti politik negara yang telah diadakan baru-baru ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan,” jelasnya dalam kenyataan itu, semalam. 

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi sebaiknya cadangan yang dikemukakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang bersifat inklusif dan komprehensif serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama, baginda turut berpendapat kematangan dalam berpolitik amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat yang terkesan akibat bencana wabak Covid-19. 

Katanya, semangat ini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang telah dipamerkan oleh Raja-raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

“Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus.

“Ia sejajar dengan kaedah fiqh dengan merujuk kepada Al-Muwafaqat (jilid 3, muka surat 88) yang bermaksud mengambil kira kemaslahatan umum adalah lebih didahulukan daripada mengambil kira maslahah khusus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN