PASUKAN Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq juga dikenali sebagai Batalion 3, PGA diketahui umum kerana keanggotaannya terdiri daripada kalangan Orang Asli. Keadaan ini menjadikan pasukan itu sesuatu yang unik berbanding pasukan penguat kuasa lain.
Sejarah mencatatkan penubuhan Senoi Praaq pada 1959 bertepatan dengan usaha menangani ancaman komunis. Sesuai dengan maksud Senoi Praaq itu sendiri iaitu ‘Orang Perang’, pasukan ini memang digeruni komunis.
Sejak permulaan negara mencapai merdeka, Senoi Praaq telah dikerahkan ke seluruh pelosok negara hingga di pintu sempadan untuk memerangi komunis.
Kepakaran dan kemahiran menghidu serta menjejaki anasir komunis di hutan belantara merupakan antara kemahiran anggota-anggota Senoi Praaq. Dengan kata lain, peperangan hutan adalah kemahiran Senoi Praaq.
Menjalani kehidupan sebagai masyarakat Orang Asli yang mahir selok-belok hutan belantara menjadikan Senoi Praaq antara pasukan digeruni musuh negara.
Penubuhan Senoi Praaq bukan sahaja dilihat bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, malah sebagai usaha kerajaan membela serta memberi pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli.
Penglibatan Orang Asli dalam pasukan keselamatan dilihat sebagai kesetiaan mereka kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Langkah kerajaan melibatkan Orang Asli dalam pasukan keselamatan itu berhasil apabila ada dalam kalangan anggota Senoi Praaq berjaya dilahirkan sebagai pakar penjejak atau tracker.
Namun, sejak berakhirnya ancaman komunis terdengar suara-suara ‘sumbang’ yang menganggap pasukan Orang Asli itu perlu ‘dimansuhkan’ dengan anggota pasukan tersebut diserapkan ke dalam batalion lain.
Apakah langkah sedemikian wajar?
Dari rekod pencapaian Senoi Praaq, pasukan itu bukan sahaja berjaya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani ancaman komunis, malah mereka turut terlibat dalam tugasan-tugasan lain.
Dengan memiliki sikap yang lurus serta tegas sesuai dengan sifat semula jadi Orang Asli, anggota-anggota Senoi Praaq dilihat menjalankan tanggungjawab ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu bergelar ‘VIP’.
Bagi mereka, arahan daripada ketua, pegawai atasan atau pegawai pemerintah, harus dilaksanakan tanpa berat sebelah.
Apabila berkawal di sempadan, tiada soal bertolak ansur hinggakan pasukan ini menjadi rungutan kepada mereka yang sering berurusan keluar masuk ke negara jiran disebabkan sikap lurus itu tadi.
Malah, Jabatan Narkotik PDRM juga pernah menggunakan khidmat Senoi Praaq dalam menjalankan operasi antidadah di pusat-pusat hiburan sekitar ibu negara.
Langkah ini dibuat kerana dalam operasi sedemikian anggota-anggota Senoi Praaq tidak bertolak ansur. Arahan ketua mereka dipatuhi tanpa banyak soal.
Atas dasar menjadikan PGA Senoi Praaq sehaluan dengan perkembangan dan kemajuan semasa, Pegawai Pemerintah pasukan itu, Superintendan Rosman Kasman menjelaskan, kemahiran serta kepakaran anggota pasukan itu kini dipertingkatkan.
Menurutnya, bukan sekadar mengekalkan kemampuan sebagai pakar perang hutan, malah kini beberapa kemahiran tambahan diserapkan kepada pasukan itu.
“Kini sejumlah 46 anggota Senoi Praaq dilatih dalam selam skuba. Mereka menjalani latihan ini bukan sahaja di tasik malah di lautan dan sungai.
“Tujuan kita, jika ada keperluan melibatkan tugasan atau operasi di air, PGA Senoi Praaq mampu melaksanakannya seperti juga penguat kuasa lain,’’ katanya ketika diwawancara.

Latihan selam skuba kombat Senoi Praaq itu dikendalikan oleh Muhamad Sarife Salleh yang merupakan jurulatih selam skuba dan pernah berkhdimat bersama 69 Komando.
Jelas Rosman, mungkin selama ini ramai berpendapat Senoi Praaq hanya mampu menjalankan tugasan di hutan belantara, sebaliknya terbukti mereka juga berjaya melaksanakan tugasan di pusat bandar dan sempadan.
Selain itu katanya, anggota-anggotanya mampu menjaga keselamatan ketika negara menganjurkan persidangan antarabangsa melibatkan negara-negara luar.
“Kini kemahiran tambahan kepada mereka iaitu selam skuba. Jika ada opersi mencari dan menyelamat di air, kita mampu melakukannya,’’ katanya.
Jangan terkejut jika diberitahu anggota-anggota Senoi Praaq turut dilatih sebagai pengiring rapat (bodyguard), selain kombat medic, tempur jarak dekat,rappelling, dispatcher, perubatan di bawah permukaan air dan kepakaran dalam operasi mencari serta menyelamat.
Kemahiran-kemahiran tersebut meletakkan Senoi Praaq sebagai antara pilihan utama kepemimpinan PDRM dalam memberi tugasan kepada pasukan ini.
Menjawab pertanyaan, Rosman berkata, dengan sikap jujur dan tegas serta memiliki kemahiran hutan dan di air, pasukan itu perlu dipertahankan dalam kalangan Orang Asli.
Ini kerana, pasukan ini tidak pernah mendatangkan masalah kepada PDRM mahupun kerajaan, sebaliknya mereka bukan sahaja membantu unit-unit penguat kuasa lain, malah sebagai penyumbang besar kepada keselamatan dan keamanan negara.
Di atas sikap jujur dalam menjalankan tugas, Ketua Polis Negara memberi amanah kepada dua Batalion Senoi Praaq iaitu Batalion 3 PGA dan Batalion 18 PGA untuk melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama pihak Perhilitan, Perhutanan dan lain-lain agensi serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan bagi membenteras penyeludupan dan jenayah hidupan liar.
Menjadi inspirasi kepemimpinan PDRM dan PGA menerapkan lebih banyak kemahiran serta kepakaran kepada Senoi Praaq pada masa hadapan kerana terbukti anggota-anggota pasukan Orang Asli itu banyak berjasa dan sentiasa bersedia menyumbangkan bakti dan jasa.











