Jangan pertikai tahanan rumah bersyarat Najib - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Jangan pertikai tahanan rumah bersyarat Najib – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED Nordin (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori dipertandingkan pada Majlis Sambutan Mulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pengampunan tahanan rumah bersyarat diterima Datuk Seri Najib Razak hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta tidak sewajarnya dipolitik dan dipertikaikan mana-mana pihak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana perkara tersebut merupakan bidang kuasa mutlak milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut beliau, pengampunan seperti itu bukan perkara baharu sebaliknya telah banyak dilakukan termasuklah melibatkan kes orang dihukum mati atau penjara seumur hidup.

“Bagi UMNO, kita tentunya gembira keputusan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi satu perkara yang harus diterima ialah pengampunan itu bukan pengampunan penuh, sebaliknya mengalihkan hukuman yang sepatutnya dijalankan di penjara dipindahkan ke rumah.

“UMNO menjunjung kasih. Memang ada yang suka, memang ada yang tak suka, UMNO berada pada pihak yang suka. Kita terima ini hak mutlak Yang di-Pertuan Agong. Datuk Najib telah mohon pengampunan lama, tetapi UMNO tak pernah bising apabila kes pengampunannya dipertimbangkan.

“Parti-parti lain terserah, tetapi pokoknya jangan pertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Itu antara keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, keputusan tahanan rumah bersyarat itu juga tidak seharusnya dikaitkan dengan kerjasama parti-parti politik Melayu yang sedang digerakkan melalui usaha penyatuan Melayu ketika ini.

“Soal penyatuan Melayu adalah disebabkan orang-orang Melayu merasakan walaupun banyak parti politik Melayu, tetapi kuasa politik Melayu semakin melemah. Tidak ada kena mengena langsung dengan tahanan rumah Datuk Seri Najib.

“Soal pilihan raya, nak mendapatkan mandat rakyat, tanah Melayu berpecah belah, bangsa majoriti tidak boleh duduk bersepakat atau ada perkara yang boleh berbincang, itu yang orang Melayu kena fikirkan untuk agar dapat jaga kepentingan Melayu.

“Sama ada Datuk Seri Najib lepas atau tidak lepas itu soal lain,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan UMNO menyediakan tabung sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta adalah atas dasar sukarela.

“Mungkin UMNO tidak akan capai jumlah RM50 juta, tetapi sekurang-kurangnya ini menunjukkan bahawa UMNO bersimpati kerana jumlah itu amat besar. Jadi kita buat apa yang termampu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×